Bengkel Panel Penilai MyRA G6 & PI079 2024

Shah Alam, Mac 2024: Pusat Jaringan Komuniti (CNC), Pejabat Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN) telah menganjurkan Bengkel Penilai MyRA G6 & PI079 pada 6 Mac 2024. Seramai 57 penilai yang melibatkan semua pusat tanggungjawab di UiTM telah mengikuti bengkel ini. Para penilai telah didedahkan dengan tatacara proses penilaian projek komuniti bagi memantapkan proses penilaian bintang MyRA projek komuniti di peringkat universiti.

Bengkel ini dimulakan dengan ucapan perasmian oleh YBrs. Prof. TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah, Timbalan Naib Canselor ICAN. Beliau mengingatkan para penilai akan peranan dan tanggungjawab mereka adalah sangat penting bagi memastikan setiap projek dinilai dengan teliti, berhati-hati dan adil.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada para penilai, “Kesungguhan dan dedikasi para panel penilai amat saya hargai dan berharap semua panel kekal setia bagi menilai projek-projek komuniti universiti.”

Seterusnya, slot pertama untuk bengkel ini telah disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Mahadir Ladisma @ Awis, Pengarah CNC berkenaan Penilaian MyRA Star Rating.  Beliau mengingatkan para penilai yang mana pencapaian bintang projek bergantung kepada sejauh mana ketua projek boleh mengemukakan bahan bukti yang berkualiti sejajar dengan keperluan MyRA universiti.

Slot kedua bengkel disampaikan oleh Profesor Madya Dr. Sukreen Hana Herman, Ketua CNC mengenai Tatacara Penggunaan Sistem PRIMe bagi penilaian projek komuniti. Sistem PRIMe berfungsi mengumpulkan data yang dilaporkan oleh pusat tanggungjawab (PTJ) untuk penilaian bintang MyRA. Para penilai diingatkan akan keperluan untuk menyemak laporan dan semua dokumen pembuktian secara teliti, memberi maklum balas terperinci berkenaan justifikasi keputusan yang di buat dan menilai dalam jangka masa yang ditetapkan.

MyRA atau Malaysian Research Assessment digunakan untuk menilai kapasiti Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di Malaysia untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang pendidikan. MyRA Seksyen G6 pula khusus kepada penarafan projek komuniti yang dijalankan oleh IPT. Manakala penunjuk prestasi (PI079) merujuk kepada bilangan komuniti yang menerima manfaat. PI079 dan MyRA Seksyen G6b adalah saling berkait kerana bilangan projek yang dijalankan akan menyasarkan komuniti tertentu bagi melaksanakan projek komuniti yang dirancang.