Bidang Ukur Bangunan, UiTM Shah Alam Prihatin dengan Masalah Kesihatan dan Kesejahteraan Masyarakat Warga Emas di Kawasan Bandar

SUBANG JAYA- Malaysia menuju ke arah negara menua pada tahun 2030 dimana 15.3 peratus daripada penduduknya akan mencapai usia warga emas iaitu 60 tahun ke atas. Lumrahnya, golongan ini terdedah kepada pelbagai masalah kesihatan dan kesejahteraan, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan bandar dan tidak lagi mempunyai sumber pendapatan.

Menyedari hakikat ini, Pertubuhan Minda Progresif, sebuah organisasi bukan kerajaan, telah berganding bahu dengan Unit ICAN (Jaringan Komuniti, Industri dan Amuni) Bidang Ukur Bangunan, untuk menjalankan program kemasyarakatan bagi menangani masalah kesihatan dan kesejahteraan di kalangan warga emas dan penduduk miskin di bandar Subang Jaya.

Program separuh hari ini berlangsung pada 2hb September, 2023 di Kompleks 3C, Subang Jaya. Sambutan daripada penduduk setempat adalah amat menggalakkan dimana hampir 70 orang telah hadir untuk menjalani saring kesihatan secara percuma, dan mendengar sesi ceramah berkenaan kepentingan kesihatan dan kesejahteraan bagi manusia. Saringan kesihatan ini telah memberi kesedaran kepada peserta berkenaan tahap kesihatan fizikal dan mental mereka pada masa itu, iaitu dari segi tekanan darah, kandungan gula dalam darah, berat badan, indeks jisim tubuh (BMI) dan kesihatan minda.

Manakala sesi ceramah pula terbahagi kepada dua. Ceramah yang pertama bertajuk “Breaking the silence: Empowering mental health conversation” yang disampai oleh kaunselor psikologi dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), En. Muhammad Harith bin Awaluddin, telah membuka minda peserta berkenaan kepentingan kesihatan mental serta perbezaannya dengan sakit mental. Ceramah yang kedua pula bertajuk “Menoleh sejarah: Al-Bakhi dan pengurusan stress dalam kehidupan” yang disampaikan oleh En. Muhammad Suhail bin Ahmad dari Grup Penjejak Tamadun Dunia (GPTD), telah memberi kesedaran kepada peserta berkenaan pengaruh jiwa kepada kesihatan fizikal serta simptom, punca dan kaedah rawatan penyakit jiwa.

Secara keseluruhannya, program ini telah berjaya untuk memberi kesedaran kesihatan mental dan fizikal yang membawa kepada kesejahteraan hidup bagi golongan warga emas serta dan ahli masyarakat yang lain di kawasan bandar. Selain daripada usaha ini, pihak UiTM Shah Alam bercadang untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan dan syarikat swasta pada masa hadapan bagi merangka plan program kemasyarakatan yang lebih berkesan, demi meningkatkan lagi tahap kesihatan dan kesejahteraan warga emas dan miskin di kawasan bandar.