Bicara Seni : Kepentingan Seni Visual di dalam Institusi Pendidikan di Malaysia

Sering kali pendidikan Seni Visual itu dilihat hanya berlaku pada aktiviti penciptaan karya seni sahaja, manakala proses pemasaran dan pemahaman karya Seni Visual sebagai aset dan khazanah negara tidak dipandang serius. Namun, bagi tahun 2023 bidang Seni Visual kini menjadi satu bidang utama penonjolan kreativiti yang amat ditekankan oleh kerajaan dalam menjana sumber ekonomi Malaysia.

Dengan inisiatif Program Seni Halus, Kolej Pengajian Seni Kreatif, UiTM Cawangan Perak dan juga tajaan daripada Geran Dana Kreatif Perak (DKP) & People of Remarkble Talents (PORT) telah menganjurkan satu program bicara seni yang membincangkan tentang Kepentingan Seni Visual di dalam Institusi Pendidikan di Malaysia. Bicara seni ini berlangsung pada 25 Oktober 2023 bertempat di Galeri Al-Birunni, UiTM Seri Iskandar, Perak.

Ia lebih berfokus kepada sesi diskusi berkaitan mengangkat martabat Seni Visual sebagai aset dan khazanah bernilai negara. Bahkan menyentuh lebih banyak hal-hal perbincangan dan buah pandangan dalam kriteria menilai karya seni yang bermutu sebagai sebuah aset dan khazanah daripada para pakar rujuk yang berlatarbelakang daripada pelbagai bidang.

Melalui program ini juga, khalayak dapat belajar menghayati, menghargai dan menilai karya-karya seni dalam konteks ekonomi semasa. Bahkan, ia turut menjadi salah satu usaha untuk membantu para pendidik, pelajar, kolektor, pelukis, penyelidik dan institusi seni sendiri untuk memahami dan mempunyai kriteria tuntas dalam melihat kepentingan Seni Visual sebagai aset negara. Bicara seni ini telah menjadi sebahagian daripada proses rujukan dalam aspek pengajaran dan pembelajaran di institusi Pendidikan Seni Visual.

Panel jemputan adalah terdiri daripada individu yang bergiat aktif dalam industri Seni Visual di Malaysia. Mereka mempunyai latar belakang dan kepakaran yang berbeza antaranya kurator, akademia, pelukis dan juga pengarca iaitu En Erry Arham Azmi merupakan kurator dari Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Dr Syed Alwi Syed Abu Bakar Pensyarah Kanan Program Seni Halus, Kolej Pengajian Seni Kreatif UiTM Cawangan Perak, Dr Mohd Ekram Al-Hafis Hashim Pensyarah Kanan Universiti Perguruan Sultan Idris dan juga Dr Rosli Zakaria iaitu pengamal industri Seni Visual.

Program ini telah berlangsung dengan jayanya seperti yang dirancang selama 3 jam, bermula pada pukul 9.00 pagi dan berakhir pada pukul 12.00 tengah hari. Peserta yang menghadiri bicara seni ini adalah terdiri daripada pelajar dan pensyarah dari UiTM Seri Iskandar, Institut Pendidikan Guru Kampus Ipoh, Kolej Komuniti Chenderoh, Kuala Kangsar dan juga Universiti Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim.

Kesimpulannya, program ini berjaya memberi kesedaran pendidikan secara ilmiah kepada pelajar dan pensyarah dalam memahami kepentingan karya Seni Visual sebagai aset dan khazanah sama seperti aset-aset lain yang bernilai dari sudut ekonomi negara. Bahkan, memberikan suatu kefahaman tentang struktur proses perkembangan dan pembangunan kerja-kerja seni yang menitikberatkan proses secara bertahap. Sekaligus membentuk sebuah institusi pendidikan yang dapat mengadaptasi perkembangan dan penyuburan fikiran secara sistematik.