Program Felo Perdana Landasan Selami Pentadbiran Kerajaan

PUTRAJAYA- 23 Ogos 2023 yang lalu telah berlangsung Majlis Penyerahan Felo Perdana di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya bersama Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Program Felo Perdana merupakan platform bagi golongan belia mengenali dan memahami susur galur dan gerak kerja pemimpin kerajaan di peringkat yang lebih tinggi selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI. Tahun ini merupakan tahun ke-11 Program Felo Perdana sejak diperkenalkan pada tahun 2013 oleh kerajaan dengan memberi peluang kepada anak muda dalam memahami dasar-dasar negara. Antara objektif utama program adalah seperti berikut:

1) Meningkatkan kemahiran komunikasi dan membina keyakinan diri dalam kalangan graduan dan siswa
2) Memberikan pendedahan mengenai pengurusan dan sistem pentadbiran kerajaan
3) Menyediakan platform kepada belia Malaysia untuk melibatkan diri secara langsung dalam perancangan dan penggubalan dasar kerajaan.

Pada tahun 2023, seramai 56 orang Felo yang telah berjaya menempatkan diri dalam Program Felo Perdana bagi menimba ilmu dan pengalaman berkhidmat secara terus daripada Ahli Jemaah Menteri. Antara Ahli Jemaah Menteri yang terlibat ialah Menteri Kewangan, Menteri Perpaduan Negara dan Menteri Belia dan Sukan. Salah seorang daripada Felo yang terpilih, Saudara Muhammad Firas Anvardeen merupakan mahasiswa semester akhir jurusan pendidikan dalam pengkhususan Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Fakulti Pendidikan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam. Saudara Firas merupakan salah seorang Felo Perdana kepada Yang Berhormat Menteri (YBM) Fadhlina Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia.

Saudara Firas mula bertugas sebagai Felo pada 23 Ogos sehingga 16 Oktober 2023. Sepanjang menjadi Felo, Saudara Firas telah berpeluang mengikuti Lawatan Kerja Menteri Pendidkan ke 10 buah negeri. Antara negeri yang dijelajahi adalah negeri Penang, Perlis dan Kelantan. Beliau menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah di atas ruang dan peluang yang diberikan kerana berpeluang untuk merantau dan menimba ilmu di luar kampus dalam masa yang singkat sepanjang bertugas sebagai Felo Perdana. Semangat dan komited yang tinggi dalam diri YBM Fadhlina Sidek ketika melaksanakan tugasan sudah pasti beliau amat disenangi oleh segenap lapisan masyarakat. Menurut saudara Firas, YBM sentiasa memberi peluang kepadanya bagi melontarkan idea dan pendapat bagi isu-isu yang berbangkit dalam bidang pendidikan.

Di kesempatan itu, saudara Firas sempat menitipkan pesan kepada warga Fakulti Pendidikan agar berani untuk mencuba sesuatu yang baru kerana peluang dan kejayaan yang dikecapinya kini tidak datang dengan mudah. Selain dari memohon doa dan restu daripada ibu bapa, sentiasa bersangka baik pada Allah adalah kunci utama dalam setiap langkahnya. Ujarnya juga, jangan pernah menjadikan kesusahan sebagai penghalang dan sentiasa merendah diri walau berada di mana jua. Meskipun dirinya merasa bahawa dia bukanlah seorang yang layak bercakap banyak tentang asam garam kehidupan, namun saudara Firas yakin dan percaya dengan menjadi diri sendiri dan berani keluar daripada zon selesa mampu mengubah impian menjadi kenyataan. Seperti peribahasa Melayu yang mengatakan, jauh perjalanan luas pemandangan sebagai landasan dalam mencari makna sebuah kehidupan.