Program Sambutan 10 Tahun dan Ijtimak Syahri Program LG242

SHAH ALAM, 9 November 2023 – Program Sarjana Muda Bahasa Gunaan (Kepujian) Bahasa Arab Komunikasi Profesional (LG242), Akademi Pengajian Bahasa (APB) telah mengadakan Program Sambutan 10 Tahun dan Ijtimak Syahri pada 11 Oktober 2023. Program ini diadakan di Dewan Kuliah 6, Kolej Pengajian Kejuruteraan, UiTM Shah Alam bermula pukul 9.00 pagi hingga 2.00 petang. Program ini dihadiri oleh Prof. Ts. Janudin Sardi, Dekan APB, para pensyarah dan pelajar program LG242. Sambutan ini turut dimeriahkan dengan kehadiran para alumni daripada program LG242.

Tujuan program ini adalah untuk menyambut ulangtahun ke-10 penubuhan Program Sarjana Muda Bahasa Gunaan (Kepujian) Bahasa Arab Komunikasi Profesional (LG242) dengan aktiviti yang bermanfaat agar warga LG242 terus bersemangat meneruskan kelangsungan program pada masa akan datang. Program LG242 mula ditawarkan pada bulan September 2013. Justeru itu, program ini juga dilangsungkan bagi meraikan usaha keras pihak pengurusan, para pensyarah, para alumni, persatuan PEBAKOM dan pelajar-pelajar yang selama ini menyumbang bakti untuk kemajuan program LG242. Program ini dimulakan dengan ucapan aluan pengerusi dan diteruskan dengan ucapan Dekan APB dan ucapan KPP. Acara disebelah pagi dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti seperti tayangan video 10 tahun, persembahan pelajar, upacara gimik perasmian sambutan, tayangan video montaj alumni, pencapaian, dan kerjaya terkini mereka. Program pada sebelah pagi ini diakhiri dengan ucapan wakil alumni, Ustazah Fudzla Surayya Abdul Raop dan dihentikan sementara untuk memberi ruang untuk berehat.

Menjelang sesi yang memasuki tengah hari, program diteruskan dengan penyampaian sijil anugerah pelajar terbaik mengikut semester. Pencapaian-pencapaian yang membanggakan ini diharapkan dapat membina semangat para mahasiswa untuk terus tekun dalam pembelajaran dan mengharumkan nama program LG242. Seterusnya, program dilanjutkan dengan cabutan bertuah dan penyampaian sumbangan laptop sebanyak 7 buah. Sebelum berakhirnya program ini, pengenalan para pensyarah mengikut kursus dan pengenalan AJK PEBAKOM baharu dan aktiviti yang bakal dijalankan untuk mendekatkan dan merapatkan silaturahim pensyarah, persatuan PEBAKOM dan para pelajar program LG242.

Semoga program ini dapat memastikan prestasi program LG242 terus meningkat dengan memberi kefahaman kepada semua warga LG242 berkaitan kelangsungan program pada masa hadapan.