Beyond The Imperfection: You’ve Got The Talent

Puncak Alam – “Beyond the Imperfection: You’ve Got the Talent” telah dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA) 2020, Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Kampus Puncak Alam dengan matlamat untuk mencungkil bakat – bakat terpendam bukan sahaja dalam diri mahasiswa Persatuan Pengimejan Perubatan malah mahasiswa dari persatuan – persatuan lain. Selain itu, dapat melahirkan sifat berani dan yakin dalam diri setiap peserta dengan berkongsi bakat mereka bersama orang lain, mengeratkan hubungan antara mahasiswa Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan dengan mahasiswa dari Fakulti Filem, Teater dan Animasi serta mahasiswa dari persatuan Fakulti Sains Kesihatan.

Di samping itu, program ini juga bermatlamatkan untuk melahirkan semangat persaingan yang sihat antara setiap peserta dan melahirkan mahasiswa yang berkualiti dan bersifat syumul. Program ini telah berlangsung pada 15 November 2021 hingga 5 Disember 2021 secara atas talian iaitu di media sosial MISA (Instagram). Seterusnya, program ini telah disertai oleh 15 Ahli Jawatankuasa termasuklah Majlis Tertinggi MISA, 2 orang juri dan 13 peserta bagi empat kategori.

Seperti yang sedia maklum, program ini berlangsung selama tiga minggu. Pada 15 November hingga 2 Disember 2021, persediaan hebahan dan pendaftaran di media sosial rasmi MISA dan SMF telah dijalankan melalui Instagram dan Whatsapp. Penyertaan dan pendaftaran peserta ditutup pada 3 Disember 2021 dan akan dinilai oleh juri dari FiTA pada 4 Disember 2021. Terdapat dua juri dari FiTA yang akan menilai hasil-hasil karya yang telah dilaksanakan oleh para peserta. Setelah selesai penilaian juri dari FiTA, pengumuman pemenang akan diumumkan di media sosial rasmi MISA (Instagram) pada hari terakhir program ini dijalankan iaitu pada 5 Disember 2021.

Hadiah bagi setiap kategori adalah bernilai RM100. Pemenang bagi Kategori Suara Emas ialah saudari Nur Syafiqah Binti Ramlan dari Fisioterapi. Bagi Kategori Deklamator Unggul, pemenangnya adalah dari Pengimejan Perubatan iaitu saudara Muhammad Syazwi Bin Nurdin. Saudari Siti Norliay Binti Kamaruddin dari Pengimejan Perubatan ialah pemenang bagi Kategori Pena Emas dan saudara Muhammad Nur Azam Bin Khairul Ekhsan dari Pengimejan Perubatan ialah pemenang bagi Kategori Seniman Unggul.

Secara tidak langsung, program ini dapat memberikan impak kepada mahasiswa dan universiti kerana mahasiswa dapat menjana minda bagi menghasilkan sesuatu yang kreatif dan kritis, dapat memupuk semangat kesenian dalam jiwa masing-masing dan dapat mengambil satu langkah untuk menangani tekanan harian sebagai pelajar dengan melibatkan diri dalam pertandingan yang memerlukan kemahiran. Impak kepada universiti pula adalah pihak UiTM dapat melahirkan mahasiswa yang kreatif dalam ilmu kesenian.

Hasil daripada program yang dijalankan, secara keseluruhannya pelbagai manfaat dapat diperoleh. Program ini yang berlangsung selama tiga minggu berjalan dengan lancar. Program ini mencapai segala objektif yang telah digariskan. Barisan ahli jawatan kuasa telah sedaya-upaya memerah tenaga dan buah fikiran untuk menjayakan program ini. Harapan yang tinggi untuk menganjurkan program yang memberikan manfaat yang baik dan membawa kecemerlangan terhadap mahasiswa dan universiti.