ICT Learning : Online Database

PUNCAK ALAM – Program ICT Learning: Online Database anjuran Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA Kampus Puncak Alam dengan kolaborasi bersama pihak Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Kampus Puncak Alam telah diadakan melalui platform aplikasi Microsoft Teams. Seramai 101 peserta, 13 orang penganjur dan seorang penceramah jemputan telah terlibat dalam menjayakan program ini.

Program ini merupakan usaha Ahli Jawatankuasa (AJK) MELTECH 22 untuk memberikan pendedahan kepada para pelajar mengenai cara penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) PTAR bagi membantu pelajar mencari maklumat melalui sistem online database. Penceramah jemputan ialah Puan Nur Fatihah Muhamad, seorang pustakawan di Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) Kampus Puncak Alam.

Pengarah program, Ieesya Atifah Mohd Fauzi berkata, program sebegini amat diperlukan supaya dapat melahirkan para pelajar yang mahir dan cekap dalam penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) yang sejajar dengan teknologi pada masa kini. Beliau juga berharap agar semua pelajar yang menyertai program ini dapat menimba ilmu baharu serta memanfaatkannya sebaik mungkin.

“Selain itu, diharapkan semua pelajar mendapat pendedahan tentang cara penggunaan platform online database yang betul bagi memudahkan pencarian maklumat berkaitan pembelajaran.” katanya.