A Milestone To An Ideal Lifestyle (AMIL)

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Puncak Alam, Selangor, 13 November, 20 November dan 4 Disember 2021: Fakulti Sains Kesihatan, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam telah menutup tirai satu program A Milestone To An Ideal Lifestyle (AMIL) dan telah mendapat sambutan yang amat memberangsangkan daripada komuniti terutamanya golongan belia.

Program anjuran Persatuan Pelajar Pemakanan dan Dietetik (NADA) UiTM ini bertujuan untuk memberikan kesedaran mengenai kepentingan pengambilan pemakanan yang seimbang dalam kehidupan seharian. Selain itu, program ini merupakan satu inisiatif untuk melahirkan golongan belia yang sihat daripada segi fizikal, emosi dan mental dengan mendedahkan informasi yang tepat berkaitan diet kepada mereka. Pada kali ini, tiga siri telah dijalankan dan ianya melibatkan golongan belia. Di samping itu, program ini juga telah menganjurkan satu pertandingan iaitu Pertandingan Tiktok dengan tujuan mencungkil bakat peserta serta untuk memberi kesedaran kepada orang ramai berkaitan kesihatan mereka terutamanya golongan belia tersebut.

Pelaksanaan program ini dijalankan oleh Persatuan Pelajar Pemakanan dan Dietetik, Fakulti Sains Kesihatan (NADA, FSK) dengan kerjasama para pensyarah dan pengajar klinikal dietetik. Ia dijalankan secara atas talian melalui platform Google Meet dan YouTube Live Streaming.

Siri pertama iaitu Gaya Hidup Seimbang telah berlangsung pada 13 November 2021 bermula  daripada pukul 11 hingga 12.15 tengah hari. Terdapat beberapa slot yang berlangsung semasa  siri pertama ini dijalankan dan dimulakan dengan slot pertama iaitu sesi perkongsian mengenai  ‘Makan Sikit Tapi Tak Kurus” oleh Dr. Nur Islami Mohd Fahmi Teng selama 15 minit. Slot  seterusnya ialah sesi perkongsian mengenai ‘Thin Outside Fat Inside (TOFI)’ oleh En. Nazrul  Hadi Ismail selama 15 minit. Selepas itu, program diteruskan dengan tayangan video ‘Tips  Gaya Hidup Sihat Semasa di Rumah’ selama 10 minit dan diikuti dengan sesi perkongsian  mengenai ‘Makanan Segera Membawa Maut!’ oleh Pn. Nur Hidayah Baharuddin selama 15  minit yang merupakan slot terakhir bagi siri pertama program ini. Sepanjang program  berlangsung, tiada masalah teknikal yang berlaku dan program tamat dengan jayanya. Pautan  link kehadiran juga telah disertakan pada akhir program untuk menerima maklum balas  daripada peserta. Terdapat 136 jumlah peserta yang menyertai siri pertama program.

Kesihatan Optimum merupakan tema bagi siri kedua yang berlangsung pada 20 November 2021  bermula dari 11.00 pagi hingga 12.15 tengah hari. Seperti siri pertama, terdapat juga beberapa slot  dijalankan. Slot pertama bertajuk ‘Senaman Ringkas’ yang telah ditayangkan hasil daripada pelajar  NADA selama 30 minit. Slot yang kedua juga berlangsung selama 10 minit yang telah dikongsikan oleh  pelajar NADA dengan tajuk ‘Healthy Snacking’. 15 minit seterusnya ialah penerangan ringkas tentang  ‘Adakah Suplemen Perlu Untuk Belia?’ oleh Dr. Syahrul Bariah Abdul Hamid. Sejumlah 102 orang  peserta menyertai siri kedua program ini.

Kesihatan dan Pemakanan merupakan tema bagi siri ketiga yang berlangsung pada 4 Disember 2021  bermula dari 11.00 pagi hingga 12.30 tengah hari. Seperti siri pertama dan kedua terdapat juga beberapa  slot dijalankan. Slot pertama bertajuk ‘Eating Disorder’ yang telah disampaikan oleh Pn. Siti Fasihah  selama 15 minit. Slot seterusnya adalah forum berkaitan Mitos vs Fakta Pemakanan yang terdiri oleh  daripada dua orang panel iaitu Dr. Emmy Hainida Khairul Ikram & Pn. Norfarhana Md. Said. Program  diteruskan lagi dengan perkongsian berkaitan Pemakanan Mempengaruhi Kesihatan Mental Belia yang disampaikan oleh Dr. Naleena Devi Muniandy selama 15 minit.

Sebelum berakhirnya program, Majlis  Perasmian Penutupan AMIL telah dikendalikan oleh Pn. Norfarhana Md. Said diikuti dengan  pengumuman pemenang ‘TikTok Competition’. Sepanjang program berlangsung, terdapat sedikit  masalah teknikal yang berlaku tetapi walaubagaimanapun program tamat dengan jayanya. Pautan link  kehadiran juga telah disertakan pada akhir program untuk menerima maklum balas daripada peserta.  Terdapat 68 jumlah peserta yang menyertai siri ketiga program.