Bengkel Semakan Perancangan Strategik HEP FSK 2021

Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kampus Puncak Alam, 06 hingga 07 Oktober 2021- Bengkel Semakan Perancangan Strategik HEP FSK 2021 anjuran Persatuan Sekretariat Mahasiswa Fakulti, Fakulti Sains Kesihatan (SMF FSK), merupakan bengkel yang diadakan secara atas talian bagi menyemak semula program-program yang bakal dijalankan oleh persatuan-persatuan dalaman Fakulti Sains Kesihatan termasuk Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF) dan Kelab Fotografi FSK (LENSA) berdasarkan Key Performance Indicator (KPI) yang telah ditetapkan sama ada perlu dilaksanakan, ditangguhkan atau dibatalkan melihatkan kepada situasi semasa yang berlaku di negara kita.

Selain itu, objektif program ini adalah untuk menerapkan ukhuwah dan semangat kerjasama yang utuh sesama organisasi serta melahirkan pemimpin yang berfikiran kritis, kreatif dan cekap dalam membuat sesuatu perancangan atau keputusan. Bengkel ini dijalankan di atas talian memandangkan negara masih berada di fasa perintah kawalan pergerakan untuk menangani wabak COVID-19.

Kesemua 10 persatuan dalaman Fakulti Sains Kesihatan telah menghantar empat wakil dan menjadikan jumlah peserta terlibat dalam bengkel ini adalah seramai 40 orang pelajar. Bengkel ini dirasmikan oleh Encik Romizan Bin Jathin, Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar (TDHEP), Fakulti Sains Kesihatan. Antara tetamu jemputan yang turut hadir dan memeriahkan bengkel ini ialah Encik Mohd Fauzli Bin Mohd Yusof, Penasihat 2 SMF FSK, Barisan Penasihat Persatuan Pelajar Fakulti Sains Kesihatan, Puan Siti Salwa Binti Jalil, Staf Operasi Fakulti Sains Kesihatan, Puan Hairenanorashikin Binti Sharip, Koordinator Keusahawanan, Dr. Syahrul Bariah Binti Abdul Hamid, Koordinator Jaringan Industri, Komuniti Dan Alumni Fakulti Sains Kesihatan serta Saudara Mohamad Shahdan Bin Hanafi Dan Saudara Nuruddin Hamzah Bin Hamzani iaitu Majlis Perwakilan Pelajar Fakulti Sains Kesihatan Sesi 2020/2021.

Bengkel yang diadakan pada 06 Oktober 2021 telah dimulakan dengan ucapan daripada pengarah program dan disusuli dengan pembentangan dari lima persatuan dalaman FSK iaitu Sekretariat Mahasiswa Fakulti (SMF), Persatuan Pelajar Pemakanan dan Dietetik (NADA), Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA), Persatuan Pelajar Pemulihan Cara Kerja (OTSA), Persatuan Pelajar Teknologi Makmal Perubatan (MELTECH). Setiap persatuan diberikan masa selama 40 minit untuk melakukan pembentangan. Selesai pembentangan, bengkel diteruskan lagi dengan ucapan penutup hari pertama oleh TDHEP sekaligus merasmikan Bengkel Semakan Perancangan Strategik HEP FSK 2021 kali ini. Dalam ucapan beliau ada memaklumkan bahawa program yang melibatkan sesi bersemuka masih belum mempunyai garis panduan yang dikeluarkan oleh pihak fakulti. Oleh itu, para pelajar dinasihatkan untuk membuat program secara atas talian buat masa ini.

Pada 07 Oktober 2021, bengkel diteruskan dengan pembentangan dari lima lagi persatuan dalaman FSK, iaitu Kelab Fotografi FSK (LENSA), Persatuan Pelajar Kejururawatan (NUSA), Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS), Persatuan Pelajar Kesihatan dan Keselamatan Persekitaran (EHSAN) dan Persatuan Pelajar Optometri (OPTIMIST). Majlis telah berjalan dengan jayanya dan diakhiri dengan ucapan kesimpulan bagi semua pembentangan dari TDHEP. Semoga dengan adanya Bengkel Semakan Perancangan Strategik HEP FSK ini, program-program yang bakal dilaksanakan dapat mencapai Key Performance Indicator (KPI) yang telah ditetapkan oleh fakulti dan seterusnya dapat membentuk Fakulti Sains Kesihatan sebagai fakulti yang berwibawa serta berketerampilan.