AUDIT PENAZIRAN DIPLOMA PERAKAUNAN (AC110), UiTM CAWANGAN SABAH BERJALAN LANCAR

KOTA KINABALU, 14 Jun 2023 – Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Sabah telah dikunjungi oleh pasukan audit daripada Pengurus Utama Diploma Perakaunan (AC110) yang diketuai oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Rahimah Mohamed Yunus, ditemani oleh Cik Henny Hazliza Mohd Tahir. Kunjungan ini adalah bagi tujuan audit penaziran program berkenaan, di mana audit yang sama juga diadakan di semua cawangan UiTM yang menawarkan program Diploma Perakaunan.

Program yang berjalan selama dua hari yang bermula pada 13 Jun 2023 itu dimulakan dengan mesyuarat pembukaaan yang telah dimulakan oleh Ketua Pusat Pengajian (KPP) Fakulti Perakaunan, YBrs. Dr. Sitti Syamsiar Binti Muharram sebagai ucapan alu-aluan. Ia kemudian diteruskan dengan pembentangan tujuan dan skop audit oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Rahimah Mohamed Yunus.

Sesi pada hari pertama melibatkan semakan dokumen kursus dan laporan-laporan berkaitan serta temubual bersama KPP, pensyarah dan pelajar. Sesi pada hari kedua pula diteruskan dengan penyediaan dan pembentangan laporan penemuan audit daripada Ketua Pasukan Audit, YBrs. Profesor Madya Dr. Rahimah Mohamed Yunus. Sesi penutup audit tersebut turut dihadiri oleh Puan Tutyana Mohamed, Ketua Sistem Audit UiTM Cawangan Sabah. Beberapa penemuan yang telah dikenalpasti turut dibincangkan secara terbuka namun mendalam, di mana KPP dan pensyarah yang terlibat akan mengambil tindakan lanjutan (jika perlu). Begitu juga dengan cadangan-cadangan penambahbaikan yang diutarakan oleh pasukan audit, akan diteliti dan diperhalusi untuk tindakan lanjut.

Audit penaziran ini dilihat penting kerana ia dapat memastikan perjalanan program berjalan mengikut dokumen dan prosedur yang berkaitan, selain mendapatkan pandangan secara menyeluruh daripada para pensyarah dan pelajar yang bertindak sebagai pemegang taruh bagi UiTM secara amnya. Pihak Fakulti Perakaunan, UiTM Cawangan Sabah dengan ini ingin merakamkan jutaan penghargaan dan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahu pun tidak langsung kerana memastikan program ini berjalan lancar.