KEMPEN NATURE’S PLEASURE RETREAT: BUKIT FRASER BLISS BERJAYA MEMBERIKAN PERSPEKTIF POSITIF MENGENAI BUKIT FRASER

SHAH ALAM, 24 JUN 2023 – Encik Kamaruddin bin Ibrahim, Pengurus Besar Tourism Pahang telah merasmikan program Nature’s Pleasure Retreat: Bukit Fraser Bliss yang merupakan satu program anjuran Agensi PRism, pelajar tahun akhir jurusan Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA, Shah Alam (UiTM). Program ini merupakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang bertujuan untuk mengubah persepsi negatif orang ramai terhadap Bukit Fraser sambil mempromosikan keindahan semula jadi dan memupuk kelestarian terhadap alam sekitar. Program ini merupakan kerjasama pelajar Perhubungan Awam dan Tourism Pahang, pada 24 Jun 2023 bertempat di Bukit Fraser, Pahang.

Encik Kamaruddin dalam ucapannya menyatakan bahawa program yang dianjurkan oleh pelajar-pelajar Perhubungan Awam dari UiTM Shah Alam ini patut dikagumi sepenuhnya. Melalui program ini, pelajar dapat menyebarkan maklumat yang tepat dan menarik tentang Bukit Fraser khususnya kepada orang ramai dan membantu meneutralkan tanggapan negatif tentang Bukit Fraser. Beliau seterusnya menekankan impak positif program itu dalam memastikan kawasan tersebut terpelihara.

Di majlis yang sama, seramai 50 keluarga yang memerlukan di sekitar Raub telah diberikan bantuan Rezeki Ummat merangkumi bantuan makanan asas yang merupakan inisiatif ikhlas serta tajaan dari Yayasan Kebajikan Muslim (MyFundAction) yang bernilai kira-kira RM7,500. Program ini juga turut mendapat tajaan dari Luna Studio, Me’nate Steak Hub, Marimogo-Korean Food dan Setia Awan bagi menjayakan program tersebut.

Antara pengisian yang diadakan adalah program bicara santai melibatkan Cik Abe Lim dan Encik Abdul Jalil bin Abdul Rahman yang membincangkan mengenai Environmentalism Tourism serta Pertunjukan Fesyen Tenun Fiesta yang mempamerkan kesenian tekstil tradisional Malaysia iaitu kain tenun telah mendapat sambutan hangat daripada khalayak ramai. Pertunjukan fesyen itu menampilkan pelbagai pakaian tenun yang unik dan diperagakan oleh beberapa pelajar antarabangsa dari UiTM Shah Alam. Turut memeriahkan majlis adalah pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Sains Tengku Abdullah (SEMESTA) Raub, Pahang, Pelajar jurusan Pengurusan Pelancongan, Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan (FPHP) dan pelajar jurusan Seni Reka Fesyen, Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam serta pelajar antarabangsa dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, UiTM Shah Alam.

Dengan objektif untuk mentakrifkan semula stereotaip yang berlaku di sekitar Bukit Fraser, program yang dianjurkan ini merupakan satu inisiatif yang efisien dalam mempromosikan dan memelihara kawasan ini yang sering menjadi tumpuan sebagai tempat persinggahan burung-burung dari pelusuk dunia.

Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada Puteri ‘Ain Syahirah di talian +60 17 361 4110 atau e-mel di 2021307061@student.uitm.edu.my / Danira Nur Alia di +60 17-547 4785 atau 2021109185@student.uitm.edu.my.

###

PRism merupakan sebuah agensi yang ditubuhkan oleh pelajar tahun akhir jurusan Sarjana Muda Komunikasi Massa (Kepujian) Perhubungan Awam dari Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA Shah Alam (UiTM) dan dianggotai oleh 30 orang pelajar. Objektif agensi ini adalah untuk merealisasikan dan mengutamakan keperluan pelanggan serta menjadi sebuah agensi perhubungan awam yang inklusif.