Amazing Quotes: What Inspire Us?

Puncak Alam- Program Amazing Quotes: What Inspire us? Yang merupakan sebuah pertandingan yang berkonsepkan ilmiah yang dianjurkan oleh Persatuan Pelajar Pengimejan Perubatan (MISA), Fakulti Sains Kesihatan. Menjadikan mahasiswa lebih cakna dalam mengaplikasikan budaya ilmu yang luas dan versatile seiring dengan zaman moden kini merupakan hala tuju utama pertandingan ini. Selain itu, pertandingan ini juga ingin memupuk semangat mahasiswa untuk lebih gigih menerokai ilmu daripada pelbagai sumber dan wahana. Ungkapan ini juga diharapkan dapat membantu mahasiswa untuk mempunyai perspektif yang lebih positif terhadap kehidupan.

Pertandingan ini menumpukan pemilihan quotes oleh mahasiswa pengimejan perubatan yang mempunyai kriteria yang menarik serta mampu memberi impak inspirasi terhadap pembaca. Pertandingan ini berlangsung secara atas talian selama dua minggu bermula dari 19 April sehingga 6 Mei. Platform yang digunakan ialah media sosial Instagram Persatuan Pengimjean Perubatan (MISA) dan akaun Instagram persendirian mahasiswa.

Pertandingan ini telah disertai oleh mahasiswa diploma dan mahasiswa ijazah sarjana muda daripada program pengimejan Perubatan. Pencapaian yang telah diperoleh melalui anjuran pertandingan ini ialah mahasiswa berjaya memanfaatkan ungkapan positif yang dipilih oleh mereka sendiri sebagai sumber teladan dan motivasi dalam kehidupan seharian. Tambahan lagi, majlis tertinggi dan ahli Exco Kepimpinan dan Pembangunan Insan MISA yang terlibat dalam mengendalikan pertandingan ini secara atas talian telah memperoleh pengalaman dan input baharu yang bermanfaat.

Terdapat pelbagai ungkapan menarik yang telah dikongsi yang disertakan bersama gambar oleh para peserta yang telah mengambil bahagian dalam pertandingan ini. Posting yang telah dikongsikan juga telah disertakan dengan #Whatinspireus dan #amazing_quotes_uitm. Ungkapan tersebut telah diinspirasikan daripada filem, lagu, sasterawan negara Usman Awang dan lain-lain. Perkongsian ungkapan-ungkapan ini berjaya memberikan input yang baik kepada mahasiswa lain. Pegangan atau kepercayaan yang baik dan positif akan memberikan impak yang luar biasa terhadap kehidupan mahasiswa.

Tiga peserta bertuah telah dipilih sebagai pemenang bertuah dan keputusan diumumkan pada 6 Mei di Instagram @migeng. Pemenang mendapat hadiah wang tunai sebanyak RM50 bagi tempat pertama, RM30 bagi tempat kedua manakala RM20 bagi pemenang tempat ketiga. Tempat pertama dimenangi oleh mahasiswa Diploma Pengimejan Perubatan semester 4 Arif Iman Bin Mokmin, tempat kedua dimenangi oleh Nurul Nadhirah Binti Yusman yang merupakan mahasiswa ijazah Pengimejan Perubatan semester 4 dan tempat ketiga pula dimenangi oleh Nazirah Binti abdul Hamid yang merupakan mahasiswa Ijazah Sarjana Muda Pengimejan Perubatan semester 4.

Secara rumusnya, pertandingan Amazing Quotes: What Inspire Us ? ini dilihat berjaya merealisasikan matlamat utama iaitu untuk membudayakan budaya ilmu di kalangan mahasiswa dalam kehidupan seharian dan membuktikan bahawa ilmu boleh diperolehi daripada pelbagai sumber dan tidak terhad kepada satu sumber sahaja. Diharapkan pertandingan ilmiah ini dapat melahirkan mahasiswa yang bermoral tinggi kerana mahasiswa merupakan modal insan yang amat berharga bagi masyarakat dan negara.