Alumni UiTM Raikan Kejayaan Graduan di Istiadat Konvokesyen ke-97

SHAH ALAM, 5 Ogos 2023 – Seramai 17 alumni UiTM hadir meraikan 35,069 graduan UiTM sempena Istiadat Konvokesyen UiTM yang ke-97 pada Sidang Pertama hari ini. Kehadiran mereka memperlihatkan bahawa peranan alumni adalah sangat penting dalam membantu pihak universiti bagi mengeratkan dan meningkatkan hubungan sesama mereka. Sehingga kini, UiTM merekodkan seramai 710,822* orang alumni.

Para alumni dijemput sebagai tanda penghargaan selain memperkukuhkan Ukhuwah Islamiyah dan menyatukan alumni UiTM agar dapat memacu strategi universiti untuk memperkasakan nilai teras MADANI iaitu Kemampanan, Kesejahteraan, Daya cipta, Hormat, Keyakinan dan Ihsan di kalangan warga universiti bagi memaksimumkan lagi jalinan kerjasama global UiTM.

Dalam ucapan alu-aluannya, Prof. Datuk Ts. Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM, menyatakan bahawa “Alumni adalah aset berharga sesebuah universiti, di mana ilmu yang diperolehi berjaya membentuk intan permata yang amat berharga kepada bangsa dan negara”. Ujar beliau lagi, komitmen para alumni dalam membantu menjayakan program universiti merupakan legasi yang perlu diteruskan bagi menjamin perkembangan dan kesinambungan universiti.

Prof. Dr. Mohd Hariri Abdullah, Timbalan Naib Canselor ICAN, turut berkongsi pentingnya “Gandingan kerjasama dalam konsep T.E.A.M. perlu ada untuk melaksanakan apa yang dirancang iaitu trust (kepercayaan), empower (memperkasa), appreciate (menghargai) dan musyawarah (rundingan)”. Beliau mengesyorkan demikian agar alumni meneruskan usaha menyemarakkan semangat melahirkan generasi alumni UiTM yang terbilang dalam apa jua bidang yang diceburi.

Dato’ Rosthman Ibrahim, graduan Diploma Pengajian Perniagaan (1994) yang mewakili para Alumni juga hadir berucap di majlis tersebut. Beliau merupakan Pengerusi Alumni UiTM Cawangan Melaka (UMAT) dan bertugas sebagai Pengarah Urusan di Nautical Insight Sdn. Bhd. serta Pengerusi Grand Swiss-Belhotel International Malaysia Sdn. Bhd. Dato’ Rosthman menyambut baik saranan Datuk Naib Canselor agar para alumni kembali berkongsi rezeki dan kejayaan yang diperolehi dengan UiTM, antaranya seperti usaha Alumni UiTM Melaka yang telah melancarkan Tabung RM1,000 kepada setiap pelajar terpilih. Menurutnya, “Kebersamaan amat penting bagi memastikan ‘succession planning’ adalah tepat dan jitu agar apa jua yang dirancang bersama alumni ada kesinambungan meskipun pucuk pimpinan silih berganti”.

Alumni hadir mengikuti Perarakan Alumni di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) UiTM Shah Alam dan juga Majlis Santapan Diraja bersama Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah yang merupakan Tuanku Canselor UiTM bersama permaisurinya Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj.

Sebagai penghormatan dan tanda menghargai, para graduan yang mendaftarkan diri sebagai alumni di aplikasi rasmi iaitu MyAlumni UiTM layak menerima pelbagai tawaran menarik antaranya dari Malaysia Airlines, Firefly, Starbucks dan juga Zus Coffee.

(*setakat 4 Ogos 2023 pada jam 11.15 pagi. Sumber: Sistem eAlumni UiTM)