HURES dan NCSM bergabung dalam Kempen Kesedaran Kanser

Kanser adalah penyebab kematian kedua tertinggi selepas penyakit jantung. 22000 kes kanser baru dilaporkan setiap tahun. Kes kanser dijangka meningkat dua kali ganda menjelang 2040. Sekurang-kurangnya, 1 daripada 10 orang rakyat Malaysia akan didiagnosis dengan penyakit kanser. Inilah realiti penyakit kanser di Malaysia berdasarkan kajian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sekitar tahun 2020 – 2023. Satu realiti yang menggerunkan. Tetapi adakah kita rakyat Malaysia menyedari bahaya penyakit kanser yang seolah-oleh tidak memilih usia, jantina dan bangsa yang menjadi mangsanya?

Menyedari ancaman kanser ini, Human Resource Society (HURES) UiTM Melaka Kampus Bandaraya telah menganjurkan sebuah program kesedaran kanser iaitu HR Lavender Day pada 18 Mei 2023. Program dengan kerjasama National Cancer Society of Malaysia (NCSM) ini telah dirasmikan oleh Penolong Rektor UiTM Melaka Kampus Bandaraya iaitu Dr. Halim Mahpoth yang turut mendapat sokongan penuh oleh Pengurus NCSM Cawangan Melaka, Datin Banu Murali.

Program ini dianjurkan dengan objektif bagi meningkatkan kesedaran orang ramai terutama warga UiTM Melaka untuk sentiasa cakna terhadap bahaya penyakit kanser dan mengamalkan gaya hidup sihat sebagai langkah berjaga-jaga pada masa akan datang. Ia juga bertujuan untuk menyemai rasa simpati dan empati terhadap mangsa penyakit kanser dan mereka yang telah kehilangan ahli keluarga atau rakan terdekat kerana penyakit pembunuh senyap ini. Pelbagai aktiviti telah diadakan seperti pemeriksaan kesihatan oleh NCSM seperti ujian Smokerlyzer, ujian saringan untuk kanser payudara, kolorektal, kesihatan mental, permainan serta quiz. Melalui aktiviti dan pameran yang telah dijalankan, pihak NCSM juga telah berpeluang untuk mengumpul dana bagi kelangsungan program-program kesedaran kanser dan ujian saringan bagi individu-individu yang kurang berkemampuan.

Program anjuran pelajar dan diketuai oleh A’irine Nasyirah Mohd Lokman dari program Ijazah Sarjana Muda (Pengurusan Sumber Manusia) ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Para pelajar dan pensyarah UiTM Melaka tidak melepaskan peluang untuk mendapatkan maklumat lebih tepat berkenaan penyakit kanser selain dari melakukan pelbagai ujian saringan kesihatan.

Penganjuran program diperingkat universiti ini adalah salah satu usaha murni dalam meningkat kesedaran masyarakat tentang bahaya kanser. Semoga program kerjasama UiTM dan agensi kesihatan seperti ini dapat diteruskan di masa akan datang dan dapat diperluas kepada masyarakat luar agar lebih ramai rakyat Malaysia cakna dengan tahap kesihatan mereka dan orang disekeliling mereka.