35,069 Graduan Menerima Ijazah Sempena Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA ke–97

SHAH ALAM, 5 Ogos 2023 – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah berkenan mencemar duli berangkat ke sidang pertama Istiadat Konvokesyen Universiti Teknologi MARA (UiTM) ke-97 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Shah Alam yang membuka tirai pada hari ini sehingga 26 Ogos 2023.

Sidang pertama istiadat menyaksikan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang merupakan Tuanku Canselor UiTM menganugerahkan Ijazah Doktor Falsafah kepada 100 graduan dalam pelbagai bidang dan 14 orang penerima Anugerah Graduan Terbaik (AGT). Di UiTM Shah Alam sebanyak 32 sidang akan berlangsung yang melibatkan penganugerahan kepada 31,689 graduan dan diikuti UiTM Cawangan Sabah pada 6 September 2023 hingga 8 September 2023 dengan jumlah graduan seramai 1,262 orang. Istiadat Konvokesyen UiTM ke-97 bakal melabuhkan tirai di UiTM Cawangan Sarawak pada 13 September 2023 hingga 15 September 2023 yang melibatkan 2,118 graduan.

Secara keseluruhannya, pecahan penganugerahan ijazah pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-97 adalah seperti berikut:

  •  176 Ijazah Doktor Falsafah
  • 1,292 Ijazah Sarjana
  • 99 Diploma Lepasan Ijazah
  • 12,894 Ijazah Sarjana Muda
  • 61 Profesional, dan
  • 20,547 Diploma

Konvokesyen UiTM ke-97 juga menyaksikan pengisytiharan perlantikan Pro-Canselor baharu UiTM iaitu Dato’ Profesor Emeritus Dr. Hassan Said dan Datuk Haji Abdul Wahab Aziz.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah binti Al Marhum Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj turut berkenan mencemar duli berangkat ke istiadat berkenaan.

Seluruh warga UiTM turut merafak sembah dan menjunjung kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku Permaisuri, berangkat mencemar duli ke Istiadat Konvokesyen UiTM ke-97.

Profesor Datuk Dr. Hajah Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM mewakili seluruh warga universiti merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada semua graduan, ibu bapa dan keluarga, serta berdoa agar semua graduan akan terus berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi pada masa akan datang. Beliau juga berpesan kepada para graduan supaya tidak lupa untuk kembali semula ke universiti bagi menabur bakti dan menyeru alumni menyumbang melalui Zakat UiTM untuk membantu kelangsungan pembelajaran mahasiswa dari kumpulan yang tercabar.