Alat Muzik Warisan Kesultanan Melayu

2 Disember 2022 – Shah Alam; Warisan Kesultanan kian dilupakan oleh masyarakat kini. Untuk menyemarakkannya kembali, pihak Perpustakaan Tun Abdul Razak dengan kerjasama strategik Kursi Institusi Raja-Raja Melayu, UiTM telah menganjurkan satu program Bicara Pakar@PTAR yang bertajuk Alat Muzik Warisan Kesultanan Melayu. Panel jemputan dari Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA iaitu Encik Kamrulbahri Hussin yang merupakan pensyarah kanan Konservatif Muzik. Bicara ini dikendalikan oleh Puan Siti Rohayu Mohamad Yusof yang merupakan Pustakawan Kanan Perpustakaan Tun Abdul Razak. Alat muzik tradisional merupakan warisan budaya bagi setiap kaum di Malaysia. Pada zaman kemegahan era kesultanan Melayu, alat muzik digunakan sebagai alat untuk menghiburkan dan menyebarkan maklumat. Muzik tradisional secara amnya digunakan sebagai lambang budaya sesuatu bangsa selain daripada tujuan untuk hiburan dan mengiringi upacara-upacara adat tertentu.

Menurut Encik Kamrulbahri, alatan muzik tradisional perlu dijaga dengan baik. Katanya lagi pada zaman dahulu, orang tua-tua melarang atau tidak membenarkan anak-anak kecil berada dekat dengan alatan muzik tradisional kerana takut berlakunya kerosakan. Hal ini disebabkan alat muzik tradisional agak susah untuk dicipta kerana memerlukan bahan-bahan yang terbaik. Apa yang beliau lihat UiTM dan universiti-universiti lain sedar akan kepentingan alat muzik tradisional cuma masih belum cukup kerana kurang kepakaran dan kemunculan penggiat seni muzik tradisional dari kalangan pelajar institusi pengajian tinggi.

Akhir sekali, harapan Encik Kamrulbahri adalah semua masyarakat perlu meletakkan sedikit ruang untuk perkenalkan serta mendengar, melihat, merasa dan memahami seterusnya insya Allah boleh mencintai seni tradisional ini termasuklah nikmat Allah yang sudah diberikan. Semua orang perlu berganding bahu untuk mengangkat martabat alat muzik tradisional sebagai warisan kesultanan Melayu supaya tidak tenggelam pada masa akan datang nanti.