Peranan Penasihat Akademik Dalam Membantu dan Mendidik Mahasiswa Adalah Penting

Satu perjumpaan di antara penasihat akademik, Puan Wan Hayati Wan Bujang dan pelajar seliaan beliau yang terdiri daripada mahasiswa Sarjana Pengurusan Perkhidmatan Makanan(HM242) , Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan, UiTM Puncak Alam, semester 4, seramai 16 orang telah diadakan pada 3 Disember 2022 yang lalu. Tujuan perjumpaan tersebut dilakukan adalah bertujuan untuk merapatkan lagi hubungan akademik di antara penasihat akademik dan para pelajar. Selain daripada penasihat akademik menasihati pelajar berkenaan akademik, penasihat akademik juga berperanan untuk membantu, menyokong dan mendengar luahan masalah yang dibebani pelajar sepanjang pengajian.

Puan Wan Hayati berkata, selain daripada pengisian akademik, pengisian rohani perlu dititik beratkan juga dan diterapkan dalam kehidupan pelajar. Dengan itu, beberapa aktiviti telah dirancang seperti program bacaan yasin sempena peperiksaan akhir yang dirancang untuk dilaksanakan pada setiap semester, program 1 hari bersama penasihat akademik juga dirancang bagi memberikan ruang dan kebebasan kepada pelajar untuk berbincang, bercakap,meluahkan dan memberikan pendapat tentang akademik mahupun kehidupan mereka sepanjang mereka bergelar mahasiswa.

Penasihat akademik perlu menjadi seorang pendengar yang baik dan membantu pelajar di dalam apa jua perkara yang melibatkan akademik, kesihatan dan keselamatan pelajar. Hubungan yang baik di antara penasihat akademik dan pelajar seliaan sangat penting kerana dengan kepercayaan yang ada, dapat menghalang pelajar daripada melakukan perkara yang tidak dijangka. Dengan cara keluar beraktiviti bersama penasihat akademik ini dapat membantu kesihatan mental dan fizikal para pelajar sepanjang pengajian mereka dan sepanjang bergelar mahasiswa.