Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak Dan Pustaka Negeri Sarawak Meterai (MoU) Perkasa Bidang Akademik Dan Penyelidikan

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (Memorandum of Understanding – MoU) antara Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Sarawak dan Pustaka Negeri Sarawak merupakan detik bersejarah antara kedua-dua belah pihak. Ini disebabkan hubungan yang terjalin di antara kedua-dua belah pihak selama ini telah dirasmikan ikatannya melalui MoU ini.

Kedua-dua pihak yang terlibat dalam majlis ini bersetuju untuk menggalakkan aktiviti secara bersama seperti kerjasama akademik, penyelidikan dan intelektual dalam bidang-bidang berikut, iaitu;
a) pertukaran kakitangan antara kedua-dua institusi;
b) penganjuran bersama simposium, persidangan, kursus pendek dan mesyuarat mengenai isu penyelidikan;
c) pertukaran maklumat berkaitan dengan pengajaran, pembangunan kakitangan dan pelajar, latihan praktikal pelajar dan institusi penyelidikan;
d) saling mempromosikan maklumat dan aktiviti antara satu pihak dengan satu pihak yang lain dalam skop Memorandum Persefahaman di laman web masing-masing (tertakluk kepada kelulusan bertulis terlebih dahulu untuk penggunaan mana-mana logo atau tanda dagangan); dan,
e) kerjasama dalam mana-mana bidang lain seperti yang dipersetujui dari semasa ke semasa.

Sebagai langkah permulaan, kerjasama antara kedua-dua agensi ini akan diterjemahkan dalam bentuk aktiviti bersama yang sedang atau akan berlangsung, seperti;
a) transliterasi manuskrip-manuskrip Melayu yang terdapat di Pustaka Negeri Sarawak dengan menggunakan tenaga pakar daripada UiTM Cawangan Sarawak;
b) penerbitan buku atau artikel atau mana-mana bahan ilmiah;
c) penyertaan dalam mana-mana pameran seperti STEM PLAYGROUND yang dianjurkan oleh pihak Pustaka Negeri;
d) penempatan pelajar-pelajar UiTM Cawangan Sarawak bagi Latihan Industri di Pustaka Negeri Sarawak

Majlis menandatangani MoU telah disempurnakan oleh YBhg. Profesor Dato Dr. Jamil Haji Hamali, Rektor bagi pihak UiTM Cawangan Sarawak sambil disaksikan oleh Prof. Dr. Abang Zainoren Abang Abdurahman, Timbalan Rektor Penyelidikan dan Jaringan Industri, UiTM Cawangan Sarawak. Manakala pihak Pustaka Negeri Sarawak pula diwakili oleh YBhg. Tuan Haji Japri Bujang Masli, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif, Pustaka Negeri Sarawak dan disaksikan oleh YBhg. En. Wan Mazli Bin Wan Razal, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi), Pustaka Negeri Sarawak.

Majlis yang diadakan di Perpustakaan Tun Abdul Razak, UiTM Cawangan Sarawak, Kampus Samarahan 2 tersebut dihadiri oleh Ahli Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Negeri, UiTM Cawangan Sarawak dan ahli Pengurusan Dalaman UiTM Cawangan Sarawak serta Ketua Sektor dan Ketua Unit Pustaka Negeri Sarawak. Majlis tersebut turut dihadiri oleh wakil dari Jabatan Muzium Sarawak dan Pustakawan Unit Pendidikan Komuniti, Perpustakaan Awam Kota Sentosa.