Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Pahang Adakan Program ‘SDG2 Kelaparan Sifar & Pemindahan Empati’ Siri 3

Sejak bermulanya gelombang ketiga pandemik Covid-19, Malaysia telah menyaksikan peningkatan kes positif yang mendadak. Negeri Pahang tidak terkecuali dalam laporan kenaikkan kes Covid-19. Justeru itu, kerajaan telah mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Berikutan laporan kenaikan kes Covid-19 di sekitar bandar Jengka, beberapa taman perumahan telah diarahkan untuk melaksanakan lockdown dan penghuni-penghuni perumahan tidak lagi dibenarkan keluar dari kawasan perumahan mereka. Telah dimaklumkan bahawa 5 staf Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Pahang (APB) yang menetap di sekitar Bandar Jengka telah diarahkan untuk mengikuti perintah berkurung ekoran dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Lokaliti (PKPL). Hal ini boleh memberi impak negatif kepada staf-staf APB yang menetap di kawasan-kawasan perumahan tersebut.

Oleh itu, pihak Akademi Pengajian Bahasa, UiTM Pahang (APB) telah mengadakan Program Sustainable Development Goals (SDG2) dengan jayanya. Program yang dinamakan ‘3rd SDG2 Zero Hunger & Empathy Transfer’ ini telah berjalan dengan lancar oleh sembilan orang pensyarah APB yang perihatin dan merangkap sebagai ahli jawatankuasa pelaksananya. Program kelaparan sifar (zero hunger) ini bertujuan menjaga kebajikan staf – staf APB, UiTM Pahang yang terkesan dari segi memberi bantuan makanan, dan menaikkan motivasi berkerja. Program ini diadakan bertujuan menyalurkan bantuan makanan kepada staf-staf APB yang terkesan ekoran pelaksanaan PKPL di sekitar Bandar Jengka. Oleh kerana mereka tidak dibenarkan untuk keluar daripada kawasan kejiranan masing-masing, ahli-ahli jawatankuasa pelaksana program telah menghulurkan bantuan dengan memastikan staf-staf yang terkesan mempunyai bekalan makanan yang cukup semasa tempoh kuarantin. Ini secara tidak langsung memastikan kebajikan mereka terjaga di samping membantu menaikkan motivasi mereka yang perlu bekerja dari rumah.

Program ini dijalankan dalam tiga pemberian iaitu pada 21 Februari, 24 Februari, dan 28 Februari 2021. AJK yang lantikan membeli makanan harian dan menghantar ke kawasan-kawasan perumahan tersebut dan diserahkan kepada pengawal keselamatan perumahan. Dana program ditaja tabung APB, UiTM Pahang. Para ahli jawatankuasa pelaksana telah dibahagikan kepada 3 kumpulan berbeza mengikut fasa masing-masing. Mereka telah membeli bekalan makanan harian dan kemudian mengagihkan dan menghantar bekalan makanan tersebut ke kawasan-kawasan perumahan yang terlibat di mana mereka juga dibantu oleh para petugas keselamatan di kejiranan terbabit.

Syabas dan tahniah kepada semua yang terlibat untuk menjayakan program ini dengan cemerlangnya. Diharapkan agar program ini dapat diteruskan pada masa akan datang dengan penyertaan yang lebih meluas oleh warga UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka.