Majlis Pra Pelancaran UiTM Unicorn Scholar Programme

SHAH ALAM – Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini telah mengadakan majlis Prapelancaran UiTM Unicorn Scholar Programme (UiTM USP) yang dilancarkan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Mansor Othman.

UiTM Unicorn Scholar Programme (USP) merupakan satu program yang membuka peluang kepada warga UiTM, khususnya para pelajar untuk mempraktikkan ilmu keusahawanan dalam konteks perniagaan sebenar. Program ini juga menjadi platform ke arah peningkatan kompetensi keusahawanan pelajar serta membuka peluang pekerjaan dan perniagaan dalam kalangan pelajar UiTM semasa atau selepas tamat pengajian.

Kolaborasi antara Akademi Pembangunan PKS & Keusahawanan Malaysia (MASMED), UiTM dan Unit Keusahawanan, Bahagian Perancangan & Penyelidikan Dasar, Kementerian Pengajian Tinggi dengan Kerjasama Alumni UiTM Business Network (ALUMNI BIZNET) membolehkan para pelajar mendapat khidmat pementoran dengan alumni usahawan UiTM yang berjaya di samping meningkatkan keupayaan pelajar UiTM dalam menceburi bidang keusahawanan.

Perkongsian pintar antara universiti dengan pihak industri menerusi program seumpama ini adalah penting untuk meningkatkan budaya keusahawanan dan membentuk satu ekosistem sokongan yang akan memastikan kelestarian perniagaan di kalangan pelajar. Pada masa yang sama, kolaborasi ini juga sebagai usaha berterusan bagi melahirkan graduan holistik serta menambah bilangan graduan yang memilih usahawan sebagai kerjaya pilihan.

Keusahawanan sebagai salah satu tunjang utama ekosistem UiTM, sentiasa diberi penekanan dan diterap dalam sistem formal pengajaran dan pembelajaran serta sistem tidak formal untuk memastikan warga UiTM, khususnya pelajar dan pengajar keusahawanan, menghayati dan mempraktik budaya keusahawanan dalam rutin harian dan peka dengan perkembangan dunia keusahawanan.

Inisiatif ini mampu untuk mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan dengan menggalakkan graduan untuk menceburi bidang perniagaan dan membuka peluang pekerjaan kepada rakan graduan yang lain.

Program ini diharap mampu mengubah landskap keusahawanan UiTM secara menyeluruh dalam melahirkan graduan bersifat kepimpinan yang cemerlang dan mempunyai daya semangat keusahawanan yang tinggi untuk menjadi ‘captain of industry’ pada masa hadapan.