
SUNGAI PETANI, 28 April 2026 – Jabatan Sains Komputer dan Matematik (JSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang terus konsisten memacu agenda literasi digital menerusi penganjuran Bengkel Asas Pengkomputeran 4.0 yang berlangsung di Maahad (Tahfiz) Riyadhil Quran (MRIQ), pada 17 april 2026
Program yang telah dimulakan sejak tahun 2024 ini merupakan inisiatif kesinambungan bagi merapatkan jurang digital dalam kalangan pelajar aliran agama. Edisi kali ini melibatkan seramai 20 orang pelajar tahfiz terpilih yang dibimbing secara langsung oleh lima orang fasilitator pakar daripada kalangan pensyarah JSKM.
Ketua Projek, Encik Syarul Heiry Yahaya berkata, bengkel edisi 4.0 ini menampilkan pendekatan lebih dinamik melalui modul Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) untuk memastikan sesi pembelajaran berlangsung secara interaktif dan praktikal.
“Kami mahu mengubah persepsi bahawa teknologi maklumat itu sukar. Dengan memperkenalkan teknik penghasilan produk inovasi digital, pelajar tahfiz ini bukan sahaja mampu menghafal al-Quran, malah berupaya menjadi pencipta kandungan digital yang kreatif,” ujar beliau.
Menariknya, para peserta turut didedahkan dengan penggunaan aplikasi Genially melalui sesi perkongsian oleh penceramah jemputan, Puan Mahanim Omar. Menerusi bimbingan tersebut, pelajar berjaya menghasilkan permainan interaktif dan board game digital sendiri yang menggabungkan elemen hiburan dan pendidikan.
Langkah proaktif ini selaras dengan hasrat UiTM untuk memperkasakan budaya inovasi tanpa mengira latar belakang bidang pengajian. Kemahiran ICT yang diterapkan bukan sahaja membina keyakinan diri peserta, malah mengasah pemikiran kritis dalam penyelesaian masalahsuatu keperluan asas dalam mendepani cabaran ekonomi digital.
Pihak JSKM komited untuk meneruskan program impak komuniti ini pada masa hadapan. Inisiatif ini juga dilihat menyokong matlamat Sustainable Development Goal (SDG) 4: Quality Education, dalam melahirkan generasi huffaz yang kompetitif, celik IT, dan relevan dengan keperluan industri masa kini.


