FSR UiTM, Herbalife Malaysia Suntik Semangat Keusahawanan, Perkasakan Kebolehpasaran Graduan

SHAH ALAM, 27 APRIL 2026 – Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR), Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus memperkukuh kerjasama strategik universiti-industri menerusi penganjuran Program Taklimat Keusahawanan bersama Herbalife Malaysia yang berlangsung di Dewan Kuliah 1, FSR, pada 22 april 2026.

Program ini bertujuan memberi pendedahan awal kepada lebih 50 orang mahasiswa mengenai ekosistem keusahawanan serta peluang kerjaya alternatif dalam industri kesihatan dan kesejahteraan yang kian berkembang pesat.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Jaringan Industri) FSR, Prof. Madya Dr. Hosni Hasan dalam ucapan alu-aluannya menegaskan bahawa penglibatan pemain industri dalam persekitaran akademik adalah kunci kepada pengayaan pengalaman pembelajaran pelajar.

“Pendedahan kepada amalan sebenar industri bukan sahaja membina pemikiran kritis, malah menyuntik ciri-ciri kepimpinan dan keusahawanan yang mampan. Ini adalah langkah proaktif fakulti dalam memastikan graduan FSR bukan sahaja mahir dalam bidang sukan, tetapi juga berdaya saing sebagai usahawan dalam landskap ekonomi masa hadapan,” ujar beliau.

Kemuncak program menyaksikan sesi ceramah bertajuk “Entrepreneurism” yang disampaikan oleh Pengarah Urusan Herbalife Malaysia, Steven Chin. Beliau berkongsi strategi kejayaan membina perniagaan yang berdaya tahan, selain menekankan kepentingan disiplin diri dan keupayaan menyesuaikan diri dalam industri.

Menurut Steven Chin, kolaborasi bersama institusi seperti UiTM adalah platform terbaik untuk mencetuskan minat generasi muda meneroka bidang perniagaan.

“Kami mahu pelajar melihat bahawa keusahawanan adalah laluan kerjaya yang berpotensi besar. Melalui jaringan profesional dan strategi pemasaran yang tepat, mereka mampu membina identiti perniagaan sendiri dalam industri kesejahteraan,” katanya semasa sesi interaktif bersama pelajar.

Selain perkongsian teori, para pelajar turut didedahkan kepada aspek praktikal melalui sesi bersama ketua-ketua pengedar Herbalife serta demonstrasi produk. Inisiatif ini selaras dengan matlamat Sustainable Development Goal (SDG) 4: Quality Education dan SDG 8: Decent Work and Economic Growth dalam melahirkan modal insan yang inovatif.

Program diakhiri dengan sesi jaringan profesional yang memberi peluang kepada pelajar untuk berinteraksi secara terus dengan delegasi industri bagi mendapatkan pandangan lanjut berkaitan peluang latihan industri dan kerjaya.