UiTM Cawangan Perlis Terajui Misi Kemanusiaan di Phuket; Santuni 50 Kanak-kanak menerusi Khatan Perdana

PHUKET, THAILAND, 21 APRIL 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis terus memperkukuh agenda diplomasi kemanusiaan di peringkat serantau menerusi penganjuran Program Khatan Perdana Siri 4/2026 yang menyantuni komuniti Muslim di Phuket, pada 18 April 2026.

Program berimpak tinggi ini dilaksanakan dengan kerjasama strategik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) serta Muslim Wittaya Phuket School, bertujuan meringankan beban golongan minoriti kurang berkemampuan selain mempereratkan hubungan silaturahim merentas sempadan.

Rektor UiTM Cawangan Perlis, Prof. Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor, menyifatkan inisiatif ini sebagai manifestasi komitmen UiTM dalam menterjemah kepakaran universiti kepada impak sosial yang nyata di peringkat antarabangsa.

“Program ini bukan sekadar khidmat berkhatan, malah ia merupakan platform buat staf kesihatan UiTM mengaplikasikan kemahiran mereka dalam situasi sebenar di luar negara. Kehadiran kita di sini membuktikan bahawa institusi pendidikan tinggi Malaysia mampu menjadi agen perubahan sosial yang inklusif menerusi pendekatan kesihatan dan nilai keagamaan,” ujar beliau semasa meninjau pelaksanaan program tersebut.

Siri kali ini melibatkan seramai 50 peserta kanak-kanak tempatan dan dikendalikan secara profesional oleh empat orang Pembantu Perubatan dari Unit Kesihatan bersama 10 staf sukarelawan UiTM Cawangan Perlis. Bagi memastikan kelancaran teknikal, MAIPs turut menyumbangkan dana bagi keperluan ubat-ubatan dan peralatan perubatan yang digunakan sepanjang program.

Selain misi kesihatan, delegasi UiTM turut memperkasakan elemen pendidikan menerusi Bengkel Pemantapan Bahasa Melayu bersama para guru dan murid Muslim Wittaya Phuket School. Inisiatif ini bertujuan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan serantau, memfokuskan kepada teknik komunikasi berkesan serta penguasaan tatabahasa yang betul.

Turut hadir menyantuni komuniti setempat ialah Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar, Encik Wan Mohd Yaseer Mohd Abdoh.

Kejayaan Program Khatan Perdana ini sekali gus memperkukuh jaringan kerjasama antarabangsa UiTM Cawangan Perlis dengan organisasi di Thailand, selaras dengan aspirasi universiti untuk menjadi institusi yang tersohor secara global menerusi penglibatan komuniti yang mampan dan berterusan.