UiTM Terima Anugerah Khas AEMAS EMGS, Perkasa Agenda Kelestarian Tenaga ASEAN

SHAH ALAM, 27 APRIL 2026 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus membuktikan kecemerlangannya dalam pengurusan kelestarian apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Khas AEMAS Energy Management Gold Standard (EMGS). Pengiktirafan berprestij ini diberikan sebagai menghargai komitmen padu universiti dalam melaksanakan pensijilan EMGS secara menyeluruh di peringkat organisasi.

Anugerah di bawah kategori Penghargaan Komitmen ini dikhaskan bagi organisasi yang mempamerkan sokongan berterusan terhadap Program ASEAN Energy Management Accreditation Scheme (AEMAS). Ia turut mengiktiraf kejayaan UiTM dalam memastikan sebahagian besar fasiliti di bawah seliaannya mematuhi standard pengurusan tenaga yang sistematik dan cekap.

Mewakili Naib Canselor UiTM, Profesor Dr. Ahmad Taufek Abdul Rahman hadir menerima anugerah tersebut. Menurut beliau, pengiktirafan ini adalah bukti kesungguhan warga UiTM dalam mentransformasikan kampus ke arah persekitaran yang lebih hijau.

“Anugerah ini bukan sekadar satu pencapaian, malah merupakan manifestasi kepada usaha berterusan UiTM dalam memperkukuh tadbir urus tenaga. Melalui pemantauan yang sistematik, kita bukan sahaja menjimatkan kos operasi, tetapi turut menyumbang secara langsung kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) selaras dengan agenda kelestarian global,” ujar beliau.

Program AEMAS yang diterajui oleh ASEAN Centre for Energy (ACE) sejak tahun 2010 bertujuan untuk memupuk amalan pengurusan tenaga mampan dalam kalangan negara anggota ASEAN. Pengiktirafan ini meletakkan UiTM sebagai antara peneraju institusi pendidikan tinggi yang komited terhadap amalan terbaik pengurusan tenaga di rantau ini.

Pencapaian ini juga dilihat menyokong matlamat Sustainable Development Goals (SDG) 7: Affordable and Clean Energy dan SDG 13: Climate Action. Ia sekali gus memperkukuh kedudukan UiTM dalam menyokong agenda kelestarian negara menerusi pelaksanaan dasar kecekapan tenaga yang progresif.

Kejayaan ini diharap menjadi pemangkin kepada seluruh warga universiti untuk terus membudayakan amalan cekap tenaga, memastikan UiTM kekal relevan sebagai institusi yang prihatin terhadap kelestarian masa hadapan.