UiTM Terus Unggul: Kekal Pensijilan ISO 9001:2015 dengan Keputusan Audit Bersih

SHAH ALAM, 17 APRIL – Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus mengukuhkan reputasinya sebagai institusi pendidikan tinggi yang mengamalkan tadbir urus bertaraf dunia apabila berjaya mengekalkan Pensijilan ISO 9001:2015 menerusi keputusan audit bersih dalam pelaksanaan Audit Surveillance 1 (SV1), baru-baru ini.

Kejayaan memperoleh audit tanpa teguran bagi skop Pengurusan Korporat Universiti Awam ini membuktikan ketegasan dan konsistensi UiTM dalam memastikan Sistem Pengurusan Kualiti (QMS) dilaksanakan secara cekap, sistematik, dan berkesan di setiap peringkat organisasi.

Sesi audit yang berlangsung secara komprehensif itu melibatkan sembilan Pusat Tanggungjawab (PTj) utama yang merangkumi 16 skop auditan kritikal. Majlis pembukaan telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Yamin Yasin, yang mewakili Naib Canselor UiTM.

Ketua Auditor, Cik Lee Yi Yan, dalam rumusan penutupan audit mengesahkan bahawa UiTM berjaya memenuhi kriteria pematuhan standard antarabangsa, sekali gus melayakkan universiti mengekalkan sijil pensijilan tersebut tanpa sebarang ketidakpatuhan (Non-Conformance Report).

Profesor Dr. Yamin Yasin dalam ucapan penutupnya merakamkan penghargaan tertinggi kepada seluruh warga universiti atas budaya kerja cemerlang yang dipamerkan. “Kejayaan ini adalah hasil dedikasi dan kerjasama erat semua pihak. Ia mencerminkan komitmen kita untuk tidak sekadar memenuhi standard, malah melampaui jangkaan dalam penyampaian perkhidmatan korporat,” ujar beliau.

Sementara itu, Penolong Naib Canselor Institut Kualiti dan Pengembangan Ilmu (InQKA), Profesor Dr. Haslinda Yusoff, turut menzahirkan kesyukuran atas sokongan padu barisan Pengurusan Eksekutif UiTM serta komitmen tinggi urus setia yang memastikan kelancaran proses auditan.

Pencapaian ini menjadi pemangkin utama buat UiTM dalam usaha merealisasikan visi menjadi universiti tersohor dunia menjelang 2025, dengan menjadikan budaya kualiti dan kecemerlangan operasi sebagai teras utama perkhidmatan.