
TAPAH, 31 Oktober 2025 – Sempena sambutan ECOFEST UiTM 2025, Jawatankuasa Kampus Hijau UiTM Cawangan Perak dengan kerjasama Pulau Banding Foundation telah menganjurkan program “Mudball 2.0: EM Mudball for Community-based Water Remediation” bertempat di Plaza Pentadbiran, UiTM Kampus Tapah.
Program yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari ini berjaya menarik penyertaan seramai 137 peserta, terdiri daripada pelajar UiTM Kampus Tapah dan UiTM Seri Iskandar, pensyarah UiTM, serta dua orang guru dan lapan orang pelajar dari SMK Panglima Perang Kiri. Kehadiran peserta pelbagai latar belakang ini menjadikan program lebih bermakna melalui pertukaran ilmu dan pembelajaran secara praktikal.
Sesi taklimat berkaitan konsep, fungsi serta kaedah pembuatan Effective Microorganism (EM) Mudball telah disampaikan oleh Dr. Atikah Fukaihah Amir, dibantu fasilitator terlatih yang memastikan setiap sesi berjalan lancar. Aktiviti utama melibatkan penyediaan adunan mudball oleh 11 kumpulan peserta, dan hasilnya sebanyak 1,365 biji mudball berjaya dihasilkan untuk tujuan pemulihan sumber air.
Penganjuran Mudball 2.0 bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan penjagaan sumber air serta memperkenalkan teknologi bioteknologi hijau berasaskan mikroorganisma efektif. Pendekatan ini memberi pendedahan secara langsung kepada peserta mengenai peranan EM dalam memecahkan bahan organik, mengurangkan pencemaran dan meningkatkan kualiti air secara semula jadi. Program ini juga menjadi platform kolaborasi antara universiti, komuniti dan institusi pendidikan dalam memupuk nilai kelestarian alam sekitar.
Inisiatif seperti ini turut memperkukuh peranan UiTM Perak sebagai institusi yang komited terhadap isu pemeliharaan alam sekitar, di samping menggalakkan pelajar mengaplikasikan ilmu sains, teknologi dan inovasi dalam konteks sebenar. Program Mudball 2.0 bukan sahaja menyumbang kepada pembangunan komuniti setempat, tetapi mengukuhkan budaya tanggungjawab sosial dan kecaknaan terhadap kelestarian di kalangan warga kampus.
Disediakan: Sr Gs Ts Dr Izrahayu Binti Che Hashim
Penyunting: LAr Ruwaidah Binti Borhan
