Kolaborasi JPK Sabah dan Pahang Perkasa Kepimpinan Mahasiswa Melalui Program Rentas Negeri

JENGKA, 23 November 2025 – Jawatankuasa Perwakilan Kolej (JPK) UiTM Cawangan Sabah telah berjaya melaksanakan Program Pemantapan Kepimpinan Borneo & Khidmat Komuniti bersama JPK UiTM Cawangan Pahang pada 23 hingga 26 November 2025. Program ini dianjurkan dengan kerjasama JPK Kolej Mat Kilau dan JPK Kolej Tok Gajah, UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka sebagai rakan strategik bagi memperkukuh hubungan kepimpinan antara mahasiswa dari Semenanjung dan Borneo.

Seramai 19 orang ahli JPK UiTM Sabah dan seorang pegawai pengiring menyertai program ini dan disambut mesra oleh warga UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka. Inisiatif ini dirangka bagi meningkatkan kemahiran kepimpinan, komunikasi, kerja berpasukan serta kompetensi sosial melalui aktiviti berstruktur berteraskan elemen Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM).

Antara pengisian utama ialah sesi suai mesra dan perkongsian kepimpinan bersama JPK Sabah, JPK Mat Kilau dan JPK Tok Gajah. Peserta turut dibawa menghadiri sesi lawatan penandaarasan ke Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), Unit Residensi & Hospitaliti Pelajar (URHP), serta kemudahan kolej UiTM Pahang bagi memahami amalan terbaik dalam pengurusan residensi dan pembangunan pelajar.

Program turut diserikan dengan pelaksanaan aktiviti CSR dan SULAM di Masjid Al‑Wifaq, Kampung FELDA Jengka 6, merangkumi gotong-royong pembersihan masjid, aktiviti merewang bersama komuniti, lawatan ziarah asnaf dan warga emas serta penyampaian bakul makanan kepada keluarga berpendapatan rendah. Majlis makan malam penghargaan bersama pengurusan UiTM Pahang dan JPK Mat Kilau turut menjadi simbolik kepada jalinan kerjasama antara kedua-dua negeri. Program disempurnakan dengan lawatan santai ke beberapa destinasi sekitar Jengka dan Temerloh.

Pelaksanaan program ini telah memberikan impak positif yang ketara, termasuk peningkatan keyakinan diri peserta, keupayaan menyelesaikan masalah serta pemahaman yang lebih menyeluruh mengenai kepimpinan berkesan. Selain itu, hubungan kolaboratif antara JPK Sabah dan Pahang semakin kukuh, di samping memupuk nilai empati dan kesedaran sosial melalui interaksi bersama komuniti setempat.

Program ini diharapkan dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai platform pengukuhan kepimpinan mahasiswa serta inisiatif memperluas peranan universiti dalam pembangunan komuniti.

Penulis:  Haziq Arieff Bin Sanita

Editor:  Nurul Huda Roslan