
Bandung, Indonesia, 28 Oktober 2025 –Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Tapah dengan kerjasama BINUS University, Indonesia dan Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Malaysia telah berjaya menganjurkan International Conference on Artificial Intelligence and Data Sciences (AiDAS2025) edisi keenam pada 2–3 September 2025.
Persidangan berprestij ini berlangsung secara hibrid, iaitu bersemuka di BINUS@Bandung, Kampus Paskal dan secara atas talian melalui Google Meet serta Facebook Live. Dengan tema “From Insights to Impact: Leveraging AI and Data Science for Strategic Decisions”, AiDAS2025 menjadi platform penting untuk penyelidik, sarjana dan pengamal industri membincangkan peranan kecerdasan buatan (AI) dan sains data dalam memacu keputusan strategik di peringkat global.


Majlis pembukaan diadakan di ruang The Atrium, BINUS@Bandung dengan ucapan alu-aluan oleh Dr. Khairulliza Ahmad Salleh, Pengerusi AiDAS2025, dan Dr. Johan Muliadi Kerta, Pengarah Kampus BINUS@Bandung. Persidangan ini dirasmikan oleh Profesor Madya Dr. Nur Hisham Ibrahim, Rektor UiTM Cawangan Perak, melalui rakaman video.
Dua tokoh ucaptama turut menyerikan persidangan: Dr. Aditya Kurniawan (BINUS University) dengan tajuk “Forensic Voice Analysis: Neural Networks Vs. Support Vector Machines for Speaker Identification” dan Profesor Madya Dr. Marina Yusoff (UiTM) dengan tajuk “Strategic Foresight with AI: Turning Data Complexity into Resilient Decisions”.
Sepanjang dua hari, persidangan menghimpunkan 107 pembentangan kertas kerja merangkumi topik seperti AI, pembelajaran mesin, analitik data, keselamatan siber dan pemprosesan bahasa semula jadi. Semua kertas kerja akan diterbitkan dalam IEEE Xplore dan diindeks oleh Scopus, mengukuhkan kedudukan AiDAS sebagai platform penyelidikan berimpak tinggi.
Penganjuran AiDAS2025 membuktikan komitmen UiTM dalam memperkukuh jaringan penyelidikan global serta memperkasakan bidang AI dan sains data selaras dengan perkembangan teknologi masa kini.
Penyunting: Dr. Khairulliza binti Ahmad Salleh
