
Tasek Gelugor, 8 Oktober 2025 – Program Community Service Responsibility (CSR) anjuran Pengajian Kejuruteraan Awam (PKA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang telah berlangsung dengan jayanya di Sekolah Menengah Kebangsaan Bakti (SMK Bakti), Tasek Gelugor, Pulau Pinang. Program ini dilaksanakan dengan kerjasama strategik bersama Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Pusat Ramalan Amaran Banjir Negara (PRABN).
Bertemakan Kempen Komunikasi, Pendidikan, Penglibatan dan Kesedaran Awam (CEPA) bagi Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB), inisiatif ini memfokuskan kepada tiga objektif utama:
- Memberi pendedahan awal kepada pelajar dan kakitangan sekolah tentang teknologi ramalan banjir.
- Meningkatkan kesedaran sivik dan amalan keselamatan semasa bencana banjir.
- Mengukuhkan kerjasama antara institusi pendidikan dan agensi teknikal kerajaan dalam aspek tanggungjawab sosial.
Program sehari ini melibatkan 30 staf PKA UiTMCPP, 20 kakitangan SMK Bakti, serta 100 pelajar Tingkatan 2 dan 3. Aktiviti utama termasuk forum CEPA, lawatan ke tapak pameran agensi seperti NAHRIM, JPS, JBPM, ATM dan MBSP, serta dua aktiviti interaktif iaitu Treasure Hunt “Flood Safety Adventure” dan Role Play “Tides and Talents”. Aktiviti ini menguji kreativiti, kerjasama dan pemahaman pelajar tentang keselamatan banjir melalui pendekatan menyeronokkan.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ir. Ts. Dr. Safari Hj. Mat Desa, Pengarah Pusat Kajian Lembangan Sungai NAHRIM. Turut hadir tetamu kehormat daripada JPS, Jabatan Pendidikan Pulau Pinang dan Pejabat Pendidikan Daerah. Program diakhiri dengan sesi refleksi, penyampaian hadiah dan pengiktirafan Ikon Kempen Amaran dan Ramalan Informasi Banjir (KARIB) kepada pelajar SMK Bakti.
Menurut pihak penganjur, program ini berjaya mencapai objektif dengan penyertaan aktif semua pihak. UiTM berharap inisiatif sebegini dapat diteruskan bagi memperkukuh kesedaran awam, nilai penghayatan dan kefahaman komuniti sekolah terhadap keselamatan bencana banjir.
