
Kangar, 19 Oktober 2025 – Suasana di perkarangan Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail pagi tadi cukup meriah apabila ratusan peserta hadir menyertai Program Tongkat Putih Peringkat Negeri Perlis 2025, anjuran Pertubuhan Rumah Lavender Perlis dengan kerjasama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Agama Islam Perlis (JAIPs) serta pelbagai agensi kerajaan dan komuniti setempat. Persatuan Belia Harmoni UiTM Perlis turut memainkan peranan penting sebagai sukarelawan, membantu peserta OKU penglihatan sepanjang aktiviti berlangsung.
Program ini dirasmikan oleh Tuan Haji Mohd Nazim bin Mohd Noor, CEO MAIPs, yang turut menyempurnakan upacara pelepasan peserta bagi aktiviti berjalan kaki sejauh 1 kilometer menggunakan tongkat putih, simbolik kepada sokongan masyarakat terhadap komuniti OKU penglihatan.
Seawal jam 8.00 pagi, peserta berkumpul untuk pendaftaran dan sarapan pagi sebelum majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan. Program diteruskan dengan senam robik dan demonstrasi penggunaan tongkat putih, memberi pendedahan kepada orang ramai tentang teknik asas navigasi bagi golongan cacat penglihatan.

Acara kemuncak ialah Majlis Perasmian & Pelepasan, diikuti aktiviti berjalan kaki yang disertai peserta pelbagai peringkat usia. Suasana santai dan inklusif ini diteruskan dengan Sesi Interaktif & Sukaneka melibatkan OKU, kanak-kanak serta dewasa.
Antara slot yang mendapat perhatian ialah Forum “Masih Ada Yang Sayang”, menampilkan panel jemputan daripada JKM, YADIM dan ETIKA Hawariyyun, dengan Dr. Nazmin binti Abdullah sebagai moderator. Forum ini memberi pencerahan tentang sokongan sosial, hak OKU dan peranan masyarakat dalam memupuk empati.
Majlis diakhiri dengan penyampaian hadiah, cenderamata dan jamuan tengah hari sekitar jam 12.30. Program ini bukan sekadar perhimpunan, tetapi satu usaha memupuk kefahaman dan solidariti terhadap komuniti OKU penglihatan, sejajar dengan aspirasi Sustainable Development Goals (SDG), khususnya SDG 3 (Good Health & Well-Being) dan SDG 10 (Reduced Inequalities), serta usaha menjadikan Perlis sebuah negeri inklusif dan penyayang.
