Amanat Rektor 2025: Hala Tuju UiTM Pahang ke Arah Universiti Bertaraf Dunia

21 Mac 2025 – UiTM Cawangan Pahang telah mengadakan Majlis Amanat Rektor 2025 bagi menyampaikan perancangan pihak pengurusan bagi tahun ini. Majlis dimulakan dengan Ikrar Rukun Negara yang diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Adiwangsa. Seterusnya, ayat-ayat suci Al-Quran telah diperdengarkan oleh Ustaz Faridzul Amri Fadzil.

YBrs. Prof. Ts. Dr. Azhan Hashim @ Ismail, SAP., FMASS., Rektor UiTM Cawangan Pahang kemudiannya menyampaikan amanat kepada seluruh warga. Bagi merealisasikan hasrat UiTM untuk menjadi Universiti Terkemuka Dunia, Mengakar ke Bumi, UiTM Cawangan Pahang melancarkan 6 inisiatif utama iaitu Staf Bertaraf Global, Program Impak Alumni & Komuniti, Hogoh Student, Smart Digital Campus, Kampus Khazanah Alam dan Pembudayaan Adiwangsa.

Pemetaan inisiatif ini selari dengan 6 Tonggak Utama Globally Renowned University 2025 yang telah direncanakan oleh UiTM. Selain itu, inisiatif ini juga memberikan penekanan terhadap 7 fokus utama Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2025-2035 yang telah digariskan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi.

Dalam ucapan beliau, YBrs. Prof. menyatakan bahawa pihak pengurusan sentiasa bersedia menerima sebarang maklum balas serta cadangan bagi meningkatkan indeks kegembiraan warga. YBrs. Prof. juga menyeru agar hubungan antara warga UiTM Kampus Jengka dan Kampus Raub dipererat bagi memacu kecemerlangan UiTM Cawangan Pahang secara keseluruhan dengan tagline #KitaSatuUiTMPahang.

YBrs. Prof. juga menyeru agar semua pihak mengangkat nilai kebersamaan bagi mewujudkan suasana harmoni, saling menghormati dan bekerjasama. Di hujung majlis, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana Adiwangsa telah menyampaikan taklimat berkenaan Tadbir Urus Adiwangsa di UiTM Cawangan Pahang.

Penulis Bersama: Prof. Madya Dr. Nor Azizah M. Yacob, Dr. Mohd Safwan Ramli, Dr. Ilyas Abdullah, Dr. Nor Fadhilah Dzulkifli, Dr. Noor Izyan Mohamad Adnan