UiTM Dengkil Gerak Inisiatif Ramadan, Bantu Komuniti Fakir Miskin di Kemboja

 

DENGKIL, 19 MAC 2025 – Bersempena dengan bulan Ramadan yang mulia, Unit Jaringan Industri, Komuniti, dan Alumni (ICAN) Pusat Asasi UiTM telah menggerakkan inisiatif mengumpulkan dana untuk sumbangan makanan dan bekalan air bersih kepada komuniti fakir miskin di Kemboja. Program Khidmat Komuniti Antarabangsa ini merupakan inisiatif tanggungjawab sosial universiti (USR) warga Pusat Asasi UiTM Dengkil bersama rakan industri, Global Ehsan Relief Cambodia.

Bersempena dengan inisiatif ini, sebuah upacara serahan simbolik sumbangan secara maya telah disempurnakan melibatkan projek Bakul Ramadhan: Sharing The Blessings, Spreading The Love – Pek makanan untuk hampir 100 keluarga miskin berjumlah RM5000.00 dan Telaga Kemboja: Sharing Rizq for a Blessed Ramadan (bersama Kelab Khidmat Masyarakat) – sebuah telaga komuniti (Community Water Well) untuk 60 buah keluarga di Kampong Khleach, Wilayah Tboung Khmum, Kemboja

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Encik Mahadi Kamaludin, Timbalan Pengarah HEP & ICAN Pusat Asasi UiTM, yang menekankan kepentingan solidariti global dan peranan mahasiswa dalam tanggungjawab sosial.  Seterusnya, Encik Zahry Mosa, Pengurus Global Ehsan Relief Cambodia menyatakan rasa terharu atas sokongan warga UiTM dan menjelaskan impak sumbangan kepada komuniti asnaf dan fakir miskin di Kemboja.

Majlis dihadiri oleh warga Pusat Asasi UiTM Dengkil, termasuk staf akademik, pelajar, serta para penderma yang budiman secara dalam talian. Kerjasama semua pihak menjayakan program ini membuktikan kesungguhan UiTM dalam melahirkan komuniti yang prihatin terhadap isu kemanusiaan global.

Inisiatif ini selari dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG 1: Mengakhiri Kemiskinan dan SDG 6: Air Bersih dan Sanitasi, serta mencerminkan komitmen UiTM dalam pendidikan holistik yang meraikan nilai kemanusiaan sejagat.

Program diakhiri dengan harapan agar sumbangan ini dapat meringankan beban masyarakat Kemboja terutamanya dalam bulan Ramadan. Pusat Asasi UiTM mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat dan menjemput lebih banyak pihak untuk menyertai misi kemanusiaan pada masa hadapan.

Penulis: Irwan Affendi bin Md Naim