Majlis Berbuka Puasa UiTM Cawangan Selangor Semarakkan Kebersamaan Staf

Sungai Buloh, 24 Mac 2025 – UiTM Cawangan Selangor (UCS) Kampus Sungai Buloh, Selayang dan Teluk Intan telah berjaya menganjurkan Majlis Berbuka Puasa Staf Pejabat Penolong Rektor sempena meraikan Bulan Ramadan. Hadir menyantuni dan menyerikan majlis adalah YBrs. Profesor Dr Ahmad Taufek Abdul Rahman, Rektor UCS, diiringi YBrs. Profesor Dr Mohd Haidzir Abd Manaf, bersama barisan pengurusan kampus yang meraikan lebih 124 orang staf.

Turut diadakan, tazkirah Ramadan bertajuk “Menghayati 10 Malam Terakhir Ramadan” yang disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Khairul Azwad Ibrahim, Penolong Pendaftar UHEI. Majlis ini bukan sahaja bertujuan mengeratkan ukhuwah antara staf tetapi juga menjadi platform untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap nilai-nilai Ramadan. Semoga program ini dapat memupuk semangat kebersamaan serta keberkatan dalam bekerja dan beribadah.

Penganjuran program seumpama ini mencerminkan komitmen UiTM dalam mewujudkan persekitaran kerja yang harmoni dalam kalangan staf. Selain mengeratkan hubungan sesama rakan sejawat, aktiviti seperti ini turut memperkukuh semangat kerjasama, sekali gus mewujudkan suasana kerja yang lebih dinamik dan produktif.

Semoga program ini terus menjadi tradisi tahunan yang memberi manfaat dan keberkatan kepada seluruh warga UiTM. Diharapkan semangat perpaduan dan kebersamaan yang terjalin dapat terus diperkukuhkan dalam menjayakan agenda pembangunan universiti.

 

Penulis: Nor Azyyati Md Saad, Inarah Ajhar & Unit Komunikasi Korporat

Editor: Nor Azyyati Md Saad