“Language Through Songs” Ungguli Anugerah di Hari Inovasi UiTM Melaka 2024

MELAKA, 25 Februari 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Inovasi Tahun 2024 di DoubleTree by Hilton Melaka pada 24 Februari 2025. Majlis yang bertemakan “Kelestarian Kualiti Melalui Transformasi Inovasi” ini bertujuan menghargai dan mengiktiraf pencapaian inovatif warga UiTM Melaka.

Program Khidmat Masyarakat & Pemindahan Ilmu Pengantarabangsaan – “Language Through Songs” berjaya merangkul Anugerah Khas Rektor bagi kategori Projek Pemindahan Ilmu Lestari dan Anugerah Bestari bagi Projek Komuniti Menerima Penajaan Luar Tertinggi 2024, dengan tajaan RM10,000.

Projek kolaborasi antarabangsa antara UiTM Melaka dan Universiti Padang, Indonesia (UNP) ini telah memberi manfaat kepada 50 anak-anak panti asuhan di Padang, Indonesia.

“Program ini melibatkan kelas Bahasa Inggeris, Bahasa Mandarin, motivasi, dan sukan, serta sumbangan barangan keperluan dan wang tunai RM10,000 kepada panti asuhan,” kata wakil penganjur.

Projek ini turut melibatkan 40 pelajar dan 4 pensyarah UiTM Melaka, serta 30 pelajar dan staf UNP.

“Pengiktirafan ini membuktikan inisiatif pemindahan ilmu berkesan dalam pembangunan masyarakat dan membuka ruang kepada projek lestari di peringkat antarabangsa,” tambah wakil penganjur.

UiTM Melaka komited untuk terus menyemarakkan budaya inovasi dan kolaborasi global.

Oleh: Arnida Jahya, Mohd Isham Abidin