UiTM Mencatatkan Pencapaian Cemerlang dalam QS World University Rankings by Subject 2025

12 Mac 2025 Universiti Teknologi MARA (UiTM) terus mengukuhkan kedudukannya pada peringkat global apabila 21 subjek merentasi empat bidang utama disenaraikan dalam QS World University Rankings (WUR) by Subject 2025, yang diumumkan hari ini. Lebih membanggakan, pencapaian ini bukan sahaja melangkaui sasaran 20 subjek yang ditetapkan dalam Pelan Strategik UiTM2025, tetapi juga mengukuhkan komitmen universiti dalam mencapai kecemerlangan akademik. Pada tahun ini, sebanyak 1,747 buah institusi telah dinilai melibatkan 55 subjek merentasi lima bidang utama. 

Salah satu pencapaian paling signifikan pada tahun ini ialah penyertaan subjek Bahasa Inggeris dan Kesusasteraan serta Matematik buat kali pertama dalam sejarah UiTM, yang mana masing-masing berada dalam kedudukan 251-300 dan 501-600. Selain itu, subjek Sains Bahan kembali tersenarai dalam lingkungan 401-550, selepas kali terakhir disenaraikan pada lima tahun lalu. Secara keseluruhannya, empat subjek telah mencatatkan peningkatan kedudukan, iaitu Pendidikan, Pertanian dan Perhutanan, Kimia, serta Fizik dan Astronomi. 

UiTM turut mengekalkan prestasi cemerlang dalam beberapa subjek utama. Subjek Kejuruteraan Petroleum terus berada dalam lingkungan 150 terbaik dunia selama lima tahun berturut-turut sejak 2021, membuktikan keunggulan penyelidikan dan inovasi UiTM dalam bidang ini pada peringkat antarabangsa. Subjek Pengurusan Hospitaliti dan Rekreasi pula berada dalam kedudukan 101-150, manakala Seni dan Reka Bentuk terus bertahan dalam lingkungan 200 terbaik dunia untuk dua tahun berturut-turut. 

Beberapa subjek lain yang mengekalkan kedudukan kompetitifnya, termasuk Seni Bina/Persekitaran Binaan, Perakaunan dan Kewangan, Farmasi dan Farmakologi, Undang-undang, Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Kejuruteraan Kimia, Kejuruteraan Mekanikal, Aeronautik dan Pembuatan, serta Sains Komputer dan Sistem Maklumat. UiTM juga kekal disenaraikan dalam empat bidang utama iaitu, Sains Sosial dan Pengurusan serta Seni dan Kemanusiaan (401-450), Kejuruteraan dan Teknologi (451-500) serta Sains Hayat dan Perubatan (501-550). 

 Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, menyifatkan kejayaan ini sebagai satu pencapaian bermakna, bertepatan dengan sambutan bulan Ramadan yang mulia. Beliau menegaskan bahawa pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan warga UiTM dalam memperkukuh kecemerlangan akademik dan penyelidikan. Tahun 2025 menandakan fasa peralihan ke arah Pelan Strategik UiTM2030, yang berlandaskan aspirasi “Menggapai ke Langit, Mengakar ke Bumi”. UiTM akan terus memperkukuh daya saing globalnya dengan meningkatkan pencapaian akademik, memperluas kolaborasi strategik, serta memastikan impak yang lebih besar kepada masyarakat dan negara.