UiTM Raub Sambut Delegasi Pelajar UMPWR Melalui Program Inbound Project 2025

RAUB, 10 Mac 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub telah menganjurkan Majlis Perasmian Program UMPWR-UiTM Inbound Project 2025 dan sesi penyerahan pelajar kepada fasilitator pada 19 Februari 2025 di Dewan Kuliah 200.

Program ini bertujuan memperkasakan agenda pengantarabangsaan UiTM dan membincangkan Memorandum Perjanjian (MOA) bersama Universiti Muhammadiyah Purworejo (UMPWR), Indonesia.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Profesor Madya Dr. Nazirah Binti Ramli, Timbalan Rektor Hal Ehwal Akademik UiTM Cawangan Pahang. Turut hadir ialah Profesor Madya Dr. Teguh Wibowo, Rektor UMPWR, bersama 11 delegasi pelajar UMPWR, serta wakil-wakil dari sekolah dan institusi tempatan.

Acara dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan dari kedua-dua negara, termasuk tarian tradisional Indonesia dan koir medley lagu-lagu tradisional Malaysia oleh kumpulan SuaRaub UiTM Raub.

Majlis diteruskan dengan sesi menandatangani Surat Hasrat (LOI) antara UMPWR dan UiTM Cawangan Pahang, serta beberapa institusi lain.

Sesi penyerahan pelajar UMPWR kepada fasilitator UiTM Raub, yang diwakili oleh Puan Roslina Ali, Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, turut diadakan.

UiTM Raub berharap kerjasama ini akan memberi impak besar kepada pembangunan ilmu dan hubungan antarabangsa.

Penulis bersama : Azimah Suparlan, Nur Fatihah Haron, Rozeleenda Abdul Rahman, Aszila Asmat.