RAUB, 5 Mac 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Raub telah menganjurkan program khidmat masyarakat “Tangan-Tangan Berbudi” di Pusat Dalam Komuniti (PDK) Harapan, Raub pada 22 Februari 2025.
Program ini melibatkan 11 pelajar dari Universitas Muhammadiyah Purworejo (UMPWR) Yogjakarta, Indonesia yang sedang menjalani latihan sangkutan di UiTM Raub, serta 14 pelajar UiTM dan 5 pensyarah.
“Program ini bertujuan membina hubungan erat antara UiTM dan komuniti setempat, serta mewujudkan kerjasama antarabangsa dalam pendidikan khas,” kata wakil penganjur.
Pelajar UiTM dan UMPWR bertindak sebagai fasilitator, membimbing 30 pelatih PDK Harapan dalam aktiviti mewarna poster, “Roket Impian,” dan persembahan nyanyian kanak-kanak.
“Sepanjang program, para pelatih kelihatan gembira dan menerima perhatian yang sewajarnya,” tambah wakil penganjur.
Pengerusi PDK Harapan, Encik Liew Poh Fa, dan penyelia, Puan Ting Teng Nge, turut menyambut kedatangan rombongan dengan meriah, menyediakan makanan dan kuih-muih.
Sempena Tahun Baru Cina, PDK Harapan turut menyerahkan sampul duit merah kepada semua pelatih dan pelajar.
“Program ini mendidik kita semua untuk tidak menyisihkan golongan istimewa. Mereka berhak mendapat layanan kasih sayang dan keprihatinan,” kata wakil penganjur.
Penganjur berharap program ini dapat memberi manfaat kepada pelatih PDK Harapan dan meluaskan pengalaman pelajar UMPWR tentang pendidikan khas.