Sungai Buloh, 24 Februari 2025 – Unit Pengurusan Fasiliti UiTM Cawangan Selangor bersama Fakulti Pergigian UiTM telah menerima kunjungan hormat daripada wakil Kementerian Kewangan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Kementerian Ekonomi. Delegasi diketuai oleh Puan Foo Sook Fuang, Ketua Penolong Pengarah Pejabat Belanjawan Negara, Kementerian Kewangan ini disambut oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Haidzir Abd Manaf, Penolong Rektor UiTM Kampus Sungai Buloh dan Selayang, mewakili Rektor serta mempengerusikan mesyuarat yang diadakan.
Kunjungan ini bertujuan untuk membincangkan permohonan peruntukan bagi pelaksanaan Kerja-Kerja Pemulihan dan Pembasmian Kulat di Bangunan Pergigian, Fakulti Pergigian UiTM Cawangan Selangor, Kampus Sungai Buloh. Taklimat berkaitan isu ini telah disampaikan oleh Ts. Zainolasri Abdul Sani @ Salleh, Pengarah Pejabat Pengurusan Fasiliti UiTM Cawangan Selangor, yang menjelaskan secara terperinci keadaan semasa serta keperluan kritikal untuk tindakan segera. Sebagai sebahagian daripada lawatan kerja ini, delegasi turut dibawa meninjau lokasi yang terjejas bagi menilai secara langsung keadaan bangunan serta skop kerja pemulihan yang diperlukan. Lawatan ini diharapkan dapat mempercepatkan proses kelulusan peruntukan bagi membolehkan kerja-kerja pemulihan dijalankan dengan segera, sekaligus memastikan keselesaan dan keselamatan warga fakulti.
Usaha UiTM dalam menangani isu ini secara proaktif membuktikan komitmen institusi dalam menyediakan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif. Keprihatinan terhadap kesejahteraan pelajar serta tenaga pengajar jelas ditunjukkan melalui tindakan pantas dalam mengenal pasti masalah dan mencari penyelesaian bersama pihak berkepentingan. Langkah ini bukan sahaja memastikan kualiti pendidikan tidak terjejas, tetapi juga mencerminkan keupayaan UiTM dalam mengurus fasiliti secara berkesan.
Kerjasama erat antara UiTM dan pihak kementerian dalam menangani isu ini amat dihargai dan ia merupakan satu bukti bahawa sokongan berterusan daripada pelbagai pihak amat penting dalam memastikan kelangsungan operasi akademik. Dengan adanya perancangan dan tindakan yang sistematik, diharapkan projek pemulihan ini dapat dilaksanakan dengan jayanya serta memberikan manfaat jangka panjang kepada seluruh komuniti kampus.
Penulis: Rozila Deraman, Inarah Ajhar & Unit Komunikasi Korporat UCS
Editor: Nor Azyyati Md Saad