MERBOK, 20 Februari 2025 – Seramai 49 pelajar Diploma Teknologi Seni Reka Perindustrian CAAD134 (Semester 1), Kolej Pengajian Seni Kreatif, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Kedah telah menjalani penilaian akhir projek reka bentuk walkie-talkie mereka. Projek ini bertujuan untuk menguji kreativiti, kemahiran teknikal, serta pemahaman mereka terhadap proses reka bentuk industri.
Selama 14 minggu pembelajaran, pelajar melalui pelbagai fasa dalam penghasilan produk, termasuk kajian awal dan pemilihan persona pengguna, eksplorasi bentuk melalui tanah liat, serta fasa “idea development” yang melibatkan lakaran konsep dengan fokus kepada ergonomik, fungsi, dan estetika. Pelajar juga membina model skala sebenar bagi menguji kebolehgunaan dan ketahanan reka bentuk mereka dalam fasa “model making”.
Sesi penilaian akhir menyaksikan pembentangan hasil projek oleh pelajar kepada panel penilai yang terdiri daripada tenaga pengajar. Penilaian dilakukan berdasarkan inovasi reka bentuk, kefahaman terhadap keperluan pengguna, dan kemahiran teknikal dalam membangunkan produk yang berfungsi. Keupayaan pelajar dalam menyampaikan dan mempertahankan konsep reka bentuk juga diuji.
Projek ini bukan sahaja mengasah kemahiran reka bentuk pelajar, tetapi turut membantu mereka membina pemikiran kritis dan keyakinan dalam menghadapi cabaran industri reka bentuk. Dengan hasil yang memberangsangkan, projek ini membuktikan kemampuan pelajar semester 1 untuk menghasilkan reka bentuk yang kreatif dan inovatif.
Penulis Bersama : En Azmir Mamat Nawi dan Pn. Dinah Rakhim