KAMPAR, Perak, 22 Januari 2025 – Seramai 57 mahasiswa Semester 5 Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak Kampus Tapah, bersama dua pensyarah, Puan Adibatul Husna Binti Fadzil dan Dr. Siti Mazleena Mohamed, telah mengadakan program “Explorewaste Race” di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sentosa, Kampar. Program komuniti ini melibatkan 404 pelajar sekolah dan dijalankan di bawah inisiatif SULAM (Service-Learning Malaysia – University for Society) melalui kod kursus FSG 301, Pengurusan Makmal.
Program ini merupakan sebahagian daripada Be Green Outreach Programme 2024, hasil kolaborasi antara PETRONAS Chemicals Group Berhad (PCG) dan UiTM. Ianya melibatkan 8,000 murid sekolah rendah dan menengah di daerah Batang Padang dan Kinta Selatan, dengan fokus pada kesedaran mengenai plastik dan kelestarian.
Melalui aktiviti interaktif seperti cabaran pengurusan sisa, kitar semula, dan amalan mampan, program ini berjaya memupuk kesedaran pelajar tentang kelestarian alam. Pelbagai aktiviti berteraskan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik) dijalankan di luar bilik darjah, termasuk Rocket Challenge yang menggunakan teori saintifik Newton’s Third Law of Motion, Plastic Mat Weaving yang mengubah bahan buangan plastik menjadi tikar hiasan, Crafty Fest untuk menghasilkan barang perhiasan, dan projek “Flower Pot” yang menggunakan bekas plastik sebagai pasu untuk penanaman sayur-sayuran. Projek Flower Pot bakal diteruskan oleh pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di sekolah.
Pelaksanaan program ini memberi peluang berharga kepada mahasiswa UiTM dalam mempelajari pengurusan acara bersama pihak luar dan mengukuhkan kemahiran seperti perancangan, komunikasi, dan penglibatan. Cabaran yang dihadapi semasa program turut dijadikan panduan untuk penambahbaikan pada masa depan.
Program “Explorewaste Race” berjaya mengukuhkan hubungan universiti dengan komuniti setempat dan membuka peluang kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan, NGO alam sekitar, serta pihak berkepentingan lain dalam menangani isu pengurusan sisa. Ia juga mengukuhkan peranan UiTM sebagai institusi yang bertanggungjawab sosial, memberikan impak positif kepada komuniti dari segi akademik dan pembangunan masyarakat.
Penulis Bersama : Dr Siti Mazleena Mohamed dan Dr Siti Sumaiyah Sheikh Abdul Aziz