SLIM RIVER, PERAK, 17 Januari 2025 – Seramai 121 anggota komuniti Orang Asli dan 69 pelajar sekolah dari Daerah Muallim telah menyertai program “Sentuhan Prihatin: Program Saringan dan Pendidikan Kesihatan Bersama Masyarakat Orang Asli” di Sekolah Kebangsaan Pos Bersih. Program ini merupakan inisiatif kerjasama antara pelajar Sarjana Muda Kejururawatan NHSN8A, UiTM Cawangan Selangor, Institut Pendidikan Berterusan dan Pengajian Profesional (iCEPS), serta agensi kerajaan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dan Pejabat Kesihatan Daerah Muallim.
Bertujuan memberikan saringan kesihatan awal dan pendidikan kesihatan, program ini fokus memperkenalkan gaya hidup sihat kepada masyarakat Orang Asli di Pos Bersih dan Kampung Bangkong. Ia turut menyokong matlamat Pembangunan Lestari, khususnya SDG 3: Kesihatan yang Baik dan SDG 10: Mengurangkan Ketidaksamaan.
Pelbagai aktiviti dijalankan, termasuk Explorace Pemakanan Sihat, Demonstrasi Anduh dan Balutan, Senamrobik, Pemeriksaan Sendiri Payu Dara, Kesihatan Lelaki, Saringan Peka B40, dan Saringan TB. Masyarakat Orang Asli turut mendapat pendedahan mengenai penyakit berjangkit dan kepentingan mencuci tangan.
Program dirasmikan oleh Dr. Ngaesah Binti Hamed dari Pejabat Kesihatan Daerah Muallim, dengan Puan Nurhamimah Binti Ahmad Mizan bertindak sebagai Pengarah Program. Menurut Puan Hajjah Fatimah Sham, pensyarah kanan UiTM, program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada masyarakat Orang Asli, malah memberi peluang pelajar kejururawatan mengasah kemahiran komuniti.
Dengan sokongan pelbagai pihak, program ini diharap dapat memberi manfaat jangka panjang dan menjadi contoh program kesihatan komuniti pada masa hadapan.