Kolaborasi Antarabangsa UiTM Sarawak dan Tokyo Metropolitan University dalam Menerajui Inovasi Kitar Semula Kimia Mampan Sisa Tekstil dan Plastik

TOKYO, 21 OKTOBER 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak dalam kerjasama bersama Tokyo Metropolitan University (TMU), Jepun telah berjaya menghasilkan penyelidikan mengenai kitar semula kimia yang lebih mampan dengan penerbitan yang bertajuk "Depolymerization of PET with Ethanol by Homogeneous Iron Catalysts Applied for Exclusive Chemical Recycling of Cloth Waste" diterbitkan oleh Royal Society of Chemistry (RSC) dalam jurnal Industrial Chemistry and Materials.

Penyelidikan ini memberi tumpuan kepada depolimerisasi inovatif polietilena tereftalat (PET) dan sisa tekstil menggunakan etanol dan mangkin ferum. Kaedah ini menawarkan penyelesaian
efektif untuk kitar semula kimia sisa buangan polimer dan selari dengan hasrat kerajaan ke arah pengurusan sisa buangan yang mampan. ChM. Dr. Nor Wahida Awang, yang merupakan pensyarah kanan di Fakulti Sains Gunaan (FSG) UiTM Cawangan Sarawak yang dilantik sebagai Visiting Researcher di TMU, bersama pelajar tahun akhir Ijazah Sarjana Muda Kimia dan Pengurusan (AS222), Muhammad Aidel Bin Ratno Hadiyono, telah menyertai Program Mobiliti Antarabangsa (Sangkutan Penyelidikan) masing-masing pada September 2023 dan Februari 2024 yang lalu selama 1 bulan. Program ini telah ditaja oleh kedua-dua universiti menerusi Tabung Kenyalang UiTM Cawangan Sarawak, Yayasan Sarawak dan Tokyo Metropolitan University. Kumpulan penyelidikan ini telah mencapai kemajuan signifikan dalam teknologi kitar semula hasil kerjasama dengan penyelidik terkemuka di TMU iaitu Profesor Dr Kotohiro Nomura dan Profesor Madya Dr. Mohamed Mehawed Abdellatif.

Kerjasama antara UiTM dan TMU mencerminkan hasrat universiti untuk meningkatkan pengetahuan dan kepakaran pelajar dan staf akademik melalui kolaborasi antarabangsa. Ia menggambarkan misi UiTM untuk melahirkan graduan yang berdaya saing di peringkat global, beretika, dan kompeten secara profesional. Usaha kolaboratif ini bukan sekadar menyokong dasar negara Malaysia mengenai kemampanan alam sekitar dan inovasi, malah turut selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) iaitu SDG 6 Air Bersih dan Sanitasi, SDG 14 Kehidupan dalam Air dan SDG 15 Kehidupan di Darat.