21 Oktober 2024 – Satu ujian Diagnostik Matematik telah dijalankan bertempat di UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub. Ujian yang telah berlangsung selama 1 jam 15 minit itu melibatkan seramai 195 orang pelajar Diploma Sains Komputer semester 1 yang mengambil subjek Pre-Calculus (MAT133). Puan Azimah Suparlan, Lecturer in Charge (LiC) bagi subjek MAT133 berkata, ujian yang dijalankan ini untuk menentukan tahap pengetahuan pelajar terhadap pengetahuan asas Algebra. Tambah beliau lagi, peratus kelulusan bagi subjek MAT133 yang agak tinggi sangat membimbangkan dan antara penyumbang kepada keputusan itu adalah tahap penguasaan Algebra.
Kemahiran penyelesaian algebra merupakan salah satu aspek yang penting dan menjadi keperluan dalam kurikulum matematik di seluruh dunia. Namun, masih ramai pelajar telah dibuktikan menghadapi kesukaran dalam menguasai kemahiran tersebut. Keadaan ini turut disokong dengan prestasi matematik pelajar dalam pentaksiran yang telah dijalankan sepanjang semester.
Tidak dinafikan, pelajar Diploma Sains Komputer UiTM Cawangan Pahang Kampus Raub juga mengalami permasalahan yang sama. Prestasi dan penguasaan subjek Matematik dilihat sebagai satu bebanan yang berat bagi pelajar. Antara subjek Matematik yang menggerunkan pelajar adalah seperti Pre- Calculus, Calculus, Linear Algebra dan beberapa lagi subjek yang lain. Menjadi tanggung jawab pensyarah mencari dan mengenal pasti permasalahan pelajar dalam usaha membantu mereka untuk mengubah persepsi terhadap trauma dalam pelajaran Matematik. Jadi, sebagai satu instrumen penilaian yang dijalankan oleh para pensyarah di awal setiap semester adalah Ujian Diagnostik Matematik.
Daripada pemerhatian yang di perolehi dari ujian tersebut, didapati masih ramai pelajar yang mempunyai masalah serta lemah dalam penyelesaian masalah Algebra. Hampir 60% pelajar berada di tahap yang membimbangkan. Jadi dari perolehan data yang di analisa, pensyarah akan mengambil inisiatif untuk membantu serta memberi perhatian yang lebih kepada pelajar- pelajar yang bermasalah. Dalam masa yang sama, dapat membantu menaikkan peratus lulus bagi subjek MAT133.
Usaha oleh pensyarah dari Jabatan Sains Matematik, Kolej Pengajian Perkomputeran dan Matematik dilihat sebagai satu pendekatan atau strategi pengajaran yang boleh membantu pelajar menguasai kemahiran penyelesaian Matematik. Ujian Diagnostik ini juga diharap dapat dijadikan sebagai rujukan kepada para pensyarah khususnya di UiTM bagi meningkatkan keberkesanan pengajaran Matematik berkaitan kemahiran penyelesaian masalah algebra.