Bengkel TOT Intensive Mathematics Siri 1: Tingkatkan Kualiti Pengajaran Matematik

PAHANG, 11 September 2024 – Bengkel Training of Trainers (TOT) bagi kursus Intensive Mathematics Siri 1 telah berjaya dilaksanakan di UiTM Cawangan Pahang. Bengkel ini dianjurkan oleh Kolej Pengajian Pengkomputeran, Informatik & Matematik (KPPIM) dan melibatkan seramai 30 orang pensyarah yang terdiri daripada pensyarah Matematik dan Pensyarah dari Pengajian  Kejuruteraan Awam. Selain itu, En. Zahid Laton, koordinator kursus Pra Diploma di UiTM Pahang juga hadir bagi menyokong dan menjayakan program ini.

Bengkel ini bertujuan untuk berkongsi maklumat tentang kursus Intensive Mathematics, terutama dari segi latar belakang pelajar dan pendekatan pengajaran yang sesuai bagi memastikan penyampaian ilmu yang lebih optimum dan efisien. Kursus ini disasarkan kepada pelajar Pra-Perdagangan dan Pra-Perladangan, yang akan mengikuti 10 jam sesi pembelajaran setiap minggu. Justeru, program ini penting untuk memastikan kelancaran dan keberkesanan sesi pengajaran dan pembelajaran.

Sesi dimulakan dengan ucapan aluan oleh Puan Asyura, pengarah dan Lecture in Charge (LiC) bagi kursus Intensive Mathematics. Beliau menyambut baik kehadiran semua peserta dan menekankan kepentingan bengkel dalam meningkatkan kualiti pengajaran. Perkongsian ilmu bermula dengan Puan Anisah, yang membincangkan topik Algebra, Persamaan, dan Fungsi. Kemudian, Dr. Nurul Nadiya meneruskan dengan topik Janjang, Indeks, dan Logaritma, manakala Puan Nurhidayah Masni mengendalikan topik Matematik Perniagaan. Akhir sekali, Dr. Nik Muhammad Farhan Hakim menutup sesi dengan perbincangan mengenai Statistik Asas.

Bengkel ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan KPPIM untuk memperkasa dan memantapkan pengajaran kursus Intensive Mathematics di UiTM Cawangan Pahang. Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan untuk mempersiapkan pensyarah, tetapi juga menyumbang kepada kecemerlangan akademik pelajar dalam kursus tersebut.