ALOR GAJAH, 21 OKTOBER 2024 – Universiti Teknologi MARA (UiTM), Cawangan Melaka telah menganjurkan satu Seminar Antarabangsa yang melibatkan penyertaan pelajar dari Sekolah Tinggi Ilmu Ekonomi (STIE) Syari’ah Bengkalis, Universitas Naudhatul Ulama (UNU) Pasuruan dan Sekolah Tinggi Agama Islam Salahuddin (STAIS) Pasuruan serta UiTM Cawangan Melaka. Sejumlah 15 orang pelajar terlibat dalam seminar ini sebagai pembentang. Tumpuan seminar ini adalah lebih terarah kepada bidang kewangan dan ekonomi Islam.
Kesemua pembentang telah membentangkan artikel berkenaan kewangan dan ekonomi Islam daripada perspektif pelbagai sudut menerusi penyelidikan yang dijalankan di kedua-dua buah negara. Semestinya dapatan penyelidikan yang dibentangkan ini menjadi satu nilai tambah kepada ilmu pengetahuan sedia ada dalam bidang kewangan dan ekonomi Islam sekaligus membuka ruang ke arah penyelidikan-penyelidikan baharu pada masa akan datang bagi mengembangkan lagi ilmu pengetahuan.
Seminar Antarabangsa ini turut mengiktiraf para peserta melalui penganugerahan dalam beberapa kategori yang dipertandingkan iaitu Penulisan Terbaik, Pemikiran Kritis Terbaik, Inovasi Terbaik, Impak Sosial Terbaik serta Persembahan Terbaik. Pengiktirafan ini dirujuk sebagai amat penting dan baik ke arah meningkatkan lagi motivasi serta minat para peserta yang terdiri daripada para pelajar untuk terus aktif dalam penulisan dan penyelidikan.
Program diakhiri dengan sesi pertukaran cenderahati di antara pihak UiTM Cawangan Melaka bersama wakil-wakil Delegasi STIE Bengkalis, UNU Pasuruan, STAIS Pasuruan serta sesi fotografi. Seminar Antarabangsa yang dijalankan ini dirujuk berpotensi untuk diteruskan lagi di masa akan datang melalui pelbagai maklum balas positif yang diberikan oleh para peserta serta tenaga pengajar daripada kesemua institusi.
Melalui program berimpak tinggi seperti ini, adalah diharapkan supaya ia sekurang-kurangnya menjadi indikator penting dalam penonjolan UiTM sebagai sebuah institusi yang sentiasa mengalu-alukan kedatangan delegasi antarabangsa dalam pelaksanaan pelbagai program yang membolehkan manfaat dapat diperolehi oleh semua pihak. Program seperti ini diharapkan dapat diteruskan lagi di masa akan datang dan memberikan impak positif dari segi kredibiliti, prestasi serta keterlihatan UiTM di peringkat global.
Penulis: Dr. Hainnuraqma Rahim, Dr. Mohamad Hafifi Jamri, Maizatul Saadiah Mohamad, Ilya Yasnorizar Ilyas, Rosilawati Sultan Mohideen, Khairi Khairuddin, Siti Nazirah Omar