8 April 2021 – Persatuan Pelajar Fisioterapi (PHYTAS) , UiTM Cawangan Selangor Kampus Puncak Alam telah mengadakan program kursus pengurusan organisasi (KPO) yang saban tahun diadakan, di mana program ini merupakan program wajib bagi Persatuan Pelajar Fisioterapi untuk memberi pendedahan tentang pengurusan yang betul dan strategik dalam struktur organisasi sesebuah persatuan. Program ini juga bertujuan untuk meningkatkan budaya kerja dalam kalangan ahli jawatankuasa Phytas melalui pemantapan sahsiah diri dan mewujudkan sifat toleransi antara ahli persatuan dalam menjalani tugas yang diberikan selain dapat mewujudkan satu organisasi yang sistematik. Seramai 28 ahli jawatankuasa Phytas yang terdiri daripada 8 orang majlis tertinggi dan 22 orang exco telah menghadiri program ini. Program ini telah diketuai oleh saudari Siti Nursyafiqah Binti Mohd Shuhaimi sebagai Pengarah program.
Pengisisan Program Kursus Pengurusan terdiri daripada beberapa slot. Slot pertama adalah sesi pembentangan mengenai pelaksanaan dan penghantaran kertas kerja oleh Presiden Phytas saudara Muhammad Faiz bin Shafiee dan Timbalan Presiden iaitu saudari Nurul Jannah Binti Muryadi, Slot kedua diteruskan dengan pembentangan tatacara penyediaan surat, e-cert dan laporan selepas program oleh Setiausaha Agung saudari Nur Imanina Batrisyia Bt Azhar dan Timbalan Setiausaha saudari Nur Husnina Zakirah Bt Hassan. Slot ketiga diteruskan dengan pembentangan template borang bendahari oleh Bendahari Kehormat saudari Yasmin Bt Awaluddin dan Timbalan Bendahari saudari Hannani Husna Binti Mohd Tajaharull. Slot terakhir pula merupakan pembentangan mengenai tugas-tugas setiap biro dalam sesebuah program oleh Juruaudit iaitu saudara Ian Latius.
Program diakhiri dengan ucapan sepatah dua kata oleh Majlis Perwakilan pelajar saudara Nuruddin Hamzah Bin Hamzani diikuti dengan sesi fotografi. Melalui program ini, dapat disimpulkan bahawa semua majlis tertinggi dan exco-exco Phytas dapat mempelajari dengan lebih teliti tentang cara pengurusan sesebuah organisasi dan cara menguruskan sesebuah program. Segala maklumat yang dikongsi dan disampaikan ini dapat digunakan oleh setiap peserta untuk menguruskan program secara sistematik dan lebih teratur disamping mewujudkan sebuah struktur organisasi yang utuh.