Hari Matematik Sedunia UiTM (UiTM-IDM 2021) : FSKM UiTM Di Peta Dunia

Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) buat kali keduanya melakarkan nama UiTM di peta sambutan Hari Matematik Sedunia (IDM). Sambutan ini merupakan acara tahunan pada setiap 14 Mac, yang juga dikenali sebagai Pi-Day dan diiktiraf oleh United Nations Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) serta memenuhi agenda-agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) terutamanya Pendidikan Berkualiti dan Kerjasama Demi Matlamat.

Bermula dari edisi pertama IDM pada tahun 2020 dengan pertandingan Olimpiad Matematik di peringkat universiti, sambutan kali ini diperluaskan ke peringkat masyarakat dan antarabangsa dengan kerjasama dari Persatuan Sains Matematik Malaysia (PERSAMA). Selain dari mendokong strategi UiTM2025 untuk menjadikan UiTM universiti bertaraf dunia, UiTM-IDM 2021 ini juga menyokong agenda STEM negara dan memenuhi Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021 – 2030.

Bertemakan “Matematik Untuk Dunia Yang Lebih Baik” di peringkat antarabangsa, FSKM telah tampil dengan temanya sendiri iaitu Matematik Untuk Kehidupan. Pelbagai aktiviti telah dijalankan bagi sambutan UiTM-IDM 2021 yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat di Malaysia dan institusi luar negara.

Sambutan UiTM-IDM 2021 dimulakan dengan sesi Webinar Matematik dan Kemanusiaan: Dulu, Kini dan Masa Depan yang diadakan pada Jumaat, 12 Mac 2021. Webinar ini mengangkat subjek kemanusiaan yang mengaitkan matematik dan alam semesta dan ketamadunan manusia, disampaikan oleh Dr Muhammad Ikhwan bin Azlan, dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Dr Muhammad Ikhwan merupakan seorang pensyarah Pemikiran dan Tamadun Islam, dan juga seorang matematikawan yang pernah mewakili pasukan Malaysia di International Mathematical Olympiad di Amerika Syarikat dan Scotland. Penyampaian beliau yang mampu mengulas aspek matematik dan aspek kemanusiaan pada masa yang sama, telah menerima sambutan yang amat baik dari pendengar dari dalam dan luar UiTM, termasuk negara Indonesia. Webinar ini dipancarkan secara langsung di dua saluran iaitu Webex dan Youtube “Centre for Mathematics Studies, UiTM”.

FSKM terus mendekati masyarakat luar dengan aktiviti pembelajaran santai dan menyeronokan atas talian Maths Minds yang disertai oleh 109 pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seksyen 7 dan SMK Seksyen 24, Shah Alam pada Isnin, 15 Mac 2021. Program interaktif ini berjaya mendedahkan pelajar sekolah dengan pelbagai perisian matematik dan konsep permodelan matematik dalam kehidupan seharian dan penyelesaian masalah. Ini dapat meningkatkan penglibatan pelajar dalam teknologi dan menjana pemikiran kritis dan kreatif serta kemahiran berkomunikasi. Dari maklumbalas yang diberi, 80% daripada pelajar sekolah mendapati program ini berjaya menarik minat mereka terhadap matematik. Walaubagaimanpun, hanya 48% daripada mereka yang berhasrat untuk menyambung pengajian mereka dalam bidang matematik. Pihak FSKM UiTM berhasrat untuk bekerjasama dengan Persatuan STEM Kebangsaan dan agensi-agensi berkaitan untuk mempromosikan pembelajaran matematik dan komputer sains sebagai menyokong gelombang kedua (2016-2020) Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang menekankan aspek kempen dan kerjasama dengan badan-badan berkaitan bagi menarik minat dan kesedaran pelajar dan masyarakat terhadap STEM.

Pada masa yang sama, program ini berjaya menyerlahkan bakat pengurusan dan kepimpinan pelajar FSKM UiTM. Mereka yang bertindak sebagai fasilitator program telah menunjukkan kemampuan untuk mengoptimumkan penggunaan teknologi terkini serta memberi pengalaman pembelajaran secara maya dan interaktif yang dapat menarik minat pelajar sekolah terhadap matematik bagi merealisasikan dasar 60:40 sains dan sastera seperti yang dihasrat oleh kerajaan dalam Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Tambahan dari dua aktiviti yang telah dijalankan di atas, pihak UiTM-IDM 2021 juga menganjurkan pertandingan video matematik bagi pelajr UiTM. Sebagai usaha untuk menguatkan jaringan dan kerjasama antarabangsa FSKM, pertandingan ini juga dibuka kepada rakan-rakan matematik antarabangsa FSKM iaitu Sathyabama Institute of Science and Technolog India, National University of Uzbekistan dan Samarkand State University, Uzbekistan. Para peserta perlulah menggunakan kreativiti di dalam penghasilan video dan perlu menerapkan konsep matematik di dalam kehidupan sebenar. Aktiviti ketiga ini dilancarkan pada 14 Mac 2021 lepas dan masih dibuka untuk pendaftaran. Segala maklumat boleh didapati di laman sesawang rasmi FSKM, UiTM.