
Shah Alam, 29 September 2025 – Universiti Teknologi MARA (UiTM) hari ini meraikan persaraan Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah, Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri, Komuniti & Alumni) (ICAN) dalam satu majlis penuh penghargaan, Majlis Sanjungan Budi yang berlangsung di Aras 7, Canseleri Tuanku Syed Sirajuddin, UiTM Shah Alam.
Majlis yang dihadiri barisan pengurusan eksekutif universiti, ahli akademik, alumni serta warga UiTM itu diadakan bagi menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan dan khidmat bakti beliau sepanjang 28 tahun berkhidmat di UiTM.
Naib Canselor UiTM, Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin dalam ucapannya menegaskan bahawa Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili merupakan seorang pemimpin berwibawa yang banyak menyumbang kepada kecemerlangan universiti.
“Dalam tempoh saya mengenali Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah, beliau merupakan seorang pemimpin berwibawa yang berfikiran strategik, berdisiplin, tegas dalam membuat keputusan, serta berorientasikan hasil dalam memperkukuh reputasi universiti,” ujar Naib Canselor.


Sepanjang mengetuai ICAN, beliau telah memperkenalkan pendekatan “Comprehensively Excellent” dan “believe, strategise, execute” yang berjaya membawa UiTM ke tahap lebih tinggi. Antara pencapaian signifikan adalah pelaksanaan program CEO@Facultydengan penglibatan 42 tokoh industri, peningkatan kadar kebolehpasaran graduan melebihi 90 peratus, serta pertambahan dana projek komuniti berimpak tinggi.
Selain itu, kepimpinan beliau berjaya mengukuhkan jaringan alumni melalui pelbagai inisiatif strategik termasuk penerbitan buku “Citra Bitara: Wajah Alumni UiTM” dan “Cherita Alumni: Dewan Latehan Rida” pada sambutan Hari Alumni 2024.
Majlis berakhir dengan doa kesejahteraan agar Profesor TPr. Dr. Jamalunlaili Abdullah terus diberi kesihatan yang baik dan kekal menyumbang ilmu serta kepakaran kepada masyarakat walaupun selepas persaraan.
