UiTM Cawangan Pahang Laksana Program Pembangunan Polisi Ekonomi Negeri Terengganu

RAUB, 1 Oktober 2025 – Sekumpulan pensyarah dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pahang, Kampus Raub telah melaksanakan satu program pembangunan polisi ekonomi negeri Terengganu yang bertujuan memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap dasar ekonomi negeri serta menyumbang kepakaran akademik kepada komuniti.

Program ini diketuai oleh Dr Razida Hanem Janor bersama tiga pensyarah lain iaitu Dr Norulhuda Tajuddin, Cik Ina Murni Hashim dan Dr Che Hamdan Che Mohd Razali. Dirancang sejak April 2025, program ini telah dilaksanakan pada 19 Julai lalu dan akan terus diselia sehingga Januari 2026.

Pelaksanaan program ini turut melibatkan kerjasama strategik dengan tiga organisasi luar, iaitu Pertubuhan Pendidikan Intelek Terengganu, Nusantara Academy Strategic Research Sdn Bhd dan Pertubuhan Muafakat Baru Terengganu.

Antara objektif utama program adalah untuk menyampaikan maklumat terkini berkaitan pembangunan ekonomi negeri, memperkukuh kefahaman terhadap polisi semasa serta membina struktur industri kecil dan sederhana (IKS) yang mapan. Program ini juga menjadi platform perkongsian ilmu melalui pembentangan kertas kerja, sesi perbincangan dan sumbang saran bersama peserta.

Tiga kertas kerja utama telah dibentangkan ialah Pembangunan Ekonomi Negeri Terengganu, Peranan TVET sebagai Pemangkin Baharu Ekonomi Negeri dan Fokus kepada Ekonomi Ruminan di Terengganu.

Program ini telah menghimpunkan peserta daripada pelbagai latar belakang termasuk NGO, ahli akademik, serta wakil agensi kerajaan dan swasta. Mereka turut terlibat dalam sesi perbincangan kumpulan, penjanaan idea secara terbuka dan rumusan strategi pembangunan ekonomi negeri secara menyeluruh.

Inisiatif ini turut menyokong pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 1: Tiada Kemiskinan melalui usaha meningkatkan pendapatan luar bandar, dan SDG 2: Kelaparan Sifar melalui peningkatan pengeluaran makanan tempatan.