Edisi Kedua CCDB 2025 Perkukuh Peranan Mahasiswa Sebagai Pengkarya Digital Berimpak

Perak, 1 Oktober 2025 – Program Content Creator Digital Bootcamp (CCDB) kembali dengan edisi kedua yang lebih segar dan berimpak, menghimpunkan seramai 100 mahasiswa dari pelbagai universiti awam seluruh negara termasuk Universiti Teknologi MARA (UiTM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

Program lima hari empat malam yang berlangsung dari 22 hingga 26 September 2026 di Pusat Latihan Kenegaraan Ulu Kenas, Perak ini merupakan anjuran Jabatan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni (ICAN), UiTM dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM). Penaja utama bagi edisi kali ini ialah UiTM, Aisling Consulting, Maxis, Todak Culture dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

CCDB 2025 memperkenalkan tiga modul utama yang menggabungkan elemen penyediaan kandungan digital, keusahawanan dan pembentukan warganegara bertanggungjawab. Para peserta didedahkan kepada kemahiran penulisan skrip, videografi, suntingan dan pengurusan media sosial, serta diasuh untuk berfikir secara strategik sebagai usahawan digital yang mampu menyampaikan mesej positif kepada masyarakat.

Sepanjang program, sepuluh kumpulan peserta berjaya menghasilkan video pendek berkualiti tinggi, dengan tiga kumpulan dinobatkan sebagai pemenang utama. Selain itu, sebelas pengiktirafan individu turut disampaikan dalam pelbagai kategori termasuk Ikon Media Sosial, Berjiwa Malaysia, Insan Rabbani dan Kepemimpinan Cemerlang.

Setiap karya yang dihasilkan bukan sahaja menampilkan kreativiti tinggi dari segi teknik dan visual, malah turut mengetengahkan produk serta perkhidmatan dengan mesej yang menekankan nilai perpaduan dan semangat cintakan negara.

Kejayaan CCDB 2025 membuktikan bahawa mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) berupaya menghasilkan kandungan digital yang relevan dengan keperluan industri semasa, sambil menyuntik nilai murni yang memberi inspirasi kepada masyarakat.